Sunday, January 15, 2012

Sambung legasi Pax Pako


KUMPULAN Round Robin dianggotai dari kiri Asraf Raiz, Bob, Sehar, Ezzad dan Ijatt.


JENAMA Round Robin sebagai sebuah band yang bernaung di bawah syarikat Interglobal Music Malaysia masih baharu, namun impian anggota tersebut sudah menjangkau usia enam tahun.

Ditubuhkan pada 2006 oleh Pax Pako dan Bob bersama rakan-rakan lain ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, Kedah, band itu mengalami banyak pasang dan surut.

Beberapa tahun kemudian setelah anggota lain meninggalkan Round Robin, tinggallah Pax Pako dan Bob meneruskan impian mereka dalam dunia nyanyian.

Mereka merancang banyak perkara, apatah lagi vokalis dan pemain basis kumpulan itu, Pax Pako menyimpan impian besar untuk mengangkat jenama tersebut.

"Pax Pako ialah orang paling penting di sebalik Round Robin kerana dialah orang terawal dan kekal bersama band kami," jelas Bob.

Malangnya, cita-cita Pax Pako untuk melihat kejayaan band itu tidak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya pada Julai 2010.

Pax Pako meninggal dunia pada usia 24 tahun kerana mengalami kegagalan fungsi jantung.

"Pemergiannya itu berlaku dalam sekelip mata pada saat kami masih memerlukan Pax Pako. Apa yang kami ingat, ia (kematian Pax Pako) berlaku tiga hari selepas kami bersama-sama berlatih.

"Tidak sangka pula ia merupakan saat terakhir untuk kami berlatih bersama," kata Bob kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Seterusnya, bagi menggantikan tempat Pax Pako, Ezzad menjadi ganti, meneruskan 'baton' sebagai pemain basis demi merealisasikan impian sebuah album sendiri.

Kini Round Robin dianggotai oleh Asraf Raiz sebagai gitaris, Bob (synthsizer), Sehar (pemain drum), Ezzad (vokalis) dan Ijatt (pemain keyboard).

Cita-cita dan impian Pax Pako seakan terlaksana apabila pada Oktober tahun lalu, Round Robin berjaya mengeluarkan sebuah album sendiri.

Tampil menerusi judul The Philophobic, album tersebut mengandungi sepuluh buah lagu termasuklah Omashita!, Helah, Philophobic, Lukha, Love For Losers dan Epilog.

"Syukur kerana kami dapat menghasilkan sebuah album yang mengandungi sepuluh buah lagu.

"Album ini turut menampilkan campuran lagu Inggeris dan Melayu. Pastinya ia didedikasikan buat Pax Pako kerana suaranya turut termuat menerusi lagu Stressed Up dan Rafla Jingga," ujar ahli kumpulan itu.

Lagu-lagu dalam album itu dihasilkan sendiri oleh Round Robin manakala liriknya ditulis oleh Nurul Adilah.

"Album ini dirancang untuk diterbitkan secara indie kerana kami hanya membelanjakan RM3,000 sahaja untuk menghasilkan 10 buah lagu.

"Tetapi kami bersyukur kerana mendapat tawaran daripada penerbit untuk mengikat kontrak dengan mereka," ujar Bob yang mahu melihat band tersebut pergi jauh.

Mengapa memilih nama Round Robin? Jelas mereka, gelaran tersebut diberikan oleh Pax Pako sendiri apabila membelek perkataan yang sesuai untuk menjadi identiti band berkenaan.

"Maksudnya ialah keputusan yang dibuat adalah dalam kalangan kami sahaja. Jadi muzik yang kami hasilkan adalah penyatuan setiap ahli band," kata mereka lagi yang banyak dipengaruhi oleh band antarabangsa seperti The Rolling Stones, Arctic Monkeys, The Strokes dan Kasabian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: