Sunday, January 15, 2012

Zahiril & Eina tetap hala tuju


FILEM Sesuatu Yang Tertinggal menggandingkan Zahiril Adzim dan Eina Azman buat kali pertama.


BELUM puas! Ungkap Zahiril Adzim saat ditanya tentang kerjaya seninya yang semakin bersinar sejak kebelakangan ini. Dalam nada yang cukup merendah diri, Zahiril tahu ramai yang mengharapkan dia mampu memberikan sesuatu kepada industri.

Akui Zahiril, dia masih lagi menapak dalam bidang yang cukup dicintainya sementelah tawaran yang diterimanya masih belum ada yang mampu memberikan kepuasan maksimum yang diharapkan.

Cukup terkenal dengan lakonan mantap sebagai Daim dalam drama bersiri Juvana, mungkin khalayak lebih mengingati watak tersebut berbanding dengan drama atau filem yang lain.

Tetapi kehebatan lakonan Zahiril dalam drama bersiri Parit Jawa mampu melekat di hati peminat yang menontonnya.

"Sehingga hari ini saya masih lagi belum puas. Kalau tanya mana-mana pelakon pun memang akan cakap perkara yang sama.

"Apatah lagi pelakon baru macam saya ini. Masih banyak lagi perkara yang perlu saya capai untuk bergelar pelakon yang hebat. Paling tidak setiap kali menerima tawaran saya akan pastikan skrip yang saya terima bagus.

"Ada kala skrip dah memang bagus. Tapi bila ia dibuat sambil lewa ketika penggambaran, apa lagi yang tinggal. Semua orang nak kejar masa dan sebagai pelakon ada kalanya tak mampu nak beri seratus peratus komitmen.

"Jadi hasil yang dipaparkan di kaca televisyen atau layar perak tu bukan dibuat sepenuh hati mengikut tuntutan skrip. Ini memang banyak kali berlaku dan memberikan impak pada saya.

"Kalau masalah macam ni terus berlarutan tak mustahil untuk saya bersara lebih awal," kata Zahiril yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Shera Aiyob.

Terbaru Zahiril muncul dalam filem seram berjudul Sesuatu Yang Tertinggal yang sudahpun menjengah pawagam bermula 5 Januari yang lalu.

Filem yang menelan belanja berjumlah RM750,000 diarahkan oleh Black turut dibintangi pelakon tinggi lampai Nur Eina Azman, Sara Ali, Shera Aiyob, Daniel El Arash dan ramai lagi.

Mungkin ramai yang belum mengenali pelakon baru, Eina yang pernah terlibat dalam kontroversi filem Ratu The Movie satu ketika dahulu.

Bagi Eina, 17, dia tidak mahu peminat terus menghukumnya kerana dia sentiasa cuba memperbaiki segala kekurangan untuk lebih maju.

"Filem Sesuatu Yang Tertinggal adalah filem kedua lakonan saya selepas Ratu The Movie. Bila orang sebut nama saya pasti ada yang teringat kontroversi yang melanda.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi mengingatinya. Biarlah orang lain menilai lakonan saya berbanding dengan cerita panas yang dah berlalu tu.

"Tahun ini saya akan mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan saya akan membahagikan masa sebaik mungkin.

"Apapun saya mahu berjaya dalam pelajaran dan hanya berlakon pada hujung minggu atau cuti sekolah sahaja," kata Eina, anak saudara kepada penyanyi Juliza Adlizan.

Selain berlakon Eina juga sedang berjinak-jinak dalam dunia nyanyian. Menyedari dia datang daripada keluarga yang sangat meminati seni suara, Eina menjelaskan dia sudahpun merakamkan sebuah lagu.

Single yang diciptakan oleh Adnan Abu Hassan berjudul Bahagia Bersamanya itu bukan dibuat sekadar suka-suka sebaliknya dia mahu serius dalam bidang yang cukup dicintainya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: