SATU ketika dahulu, era 60-an muda-mudi kebanyakannya kuat dipengaruhi fenomena kumpulan legenda terkenal dunia, The Beatles.
Itulah era pop yeh yeh yang pastinya mengimbau kenangan buat orang-orang lama yang satu ketika dahulu pernah menikmati era tersebut.
Di Malaysia, nama-nama seperti A.Ramlie, Jeffrydin, L.Ramlee, A. Halim misalnya cukup sinonim dengan rentak irama berkenaan yang sebenarnya unik jika dihayati.
Bagaimanapun selepas setengah abad, irama unik ini sudah tidak lagi menarik perhatian pendengar.
Semuanya disebabkan wujudnya revolusi dalam dunia muzik yang membawa arus semasa dan ia adalah sesuatu yang normal.
Pun begitu, atas kesedaran untuk mengangkat dan mengembalikan semula zaman kegemilangan pop yeh yeh, Istana Budaya (IB) dengan kerjasama Gombak Serumpun Sdn. Bhd., akan mengadakan Konsert Kugiran 60-an untuk semua peminat tegar era berkenaan.
Bakal berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Januari ini, konsert itu akan membariskan bukan sahaja penyanyi, tetapi kumpulan asal yang popular ketika itu.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, bersama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi, konsert tersebut merupakan yang julung kalinya diadakan di IB.
“Selama ini, banyak yang dapat kita saksikan tokoh atau ikon irama Pop Yeh Yeh seringkali cuma muncul sebagai penyanyi tempelan dalam mana-mana konsert mahupun pementasan muzikal.
“Sebagai contoh dalam pementasan teater Muzikal Suzana 60an (2006) dan Kenangan Mengusik Jiwa (2011). Mereka cuma menyanyi dan orang yang datang pun tak berapa nampak kewujudan ikon-ikon ini yang dilihat macam ‘terkebelakang’.
“Sekarang inilah masanya untuk ikon-ikon ini muncul sebagai bintang utama pada konsert yang pastinya menjanjikan yang terbaik buat semua peminat setianya,” katanya.
Sementara itu, menurut Juhari lagi, selepas berbincang, pihak penganjur juga telah sepakat untuk membuat penambahan artis sempena konsert tersebut.
Mereka yang terlibat ialah Zam Zam (The Twilites), Fatimah M. Amin, Rodziah Latif dan A. Rozaini yang akan membuat kemunculan khas dengan menyanyikan seleksi lagu-lagu popular A. Ramlie.
Menurut Juhari, penambahan ini dibuat bagi memeriahkan lagi konsert itu yang akan menyaksikan pelawak terkenal Abon sebagai pengacara.
Dalam pada itu, penyanyi Fatimah M. Amin ketika ditemui melahirkan rasa terujanya untuk berdiri di atas pentas IB buat kali ketiga.
“Sebelum ini saya pernah terlibat dengan dua teater 60-an yang dijayakan di sini.
“Tentunya saya gembira kerana ditawarkan untuk menjayakan konsert yang menampilkan kumpulan-kumpulan asal di era kami bergabung di atas pentas ini buat pertama kali.
“Saya tidak sabar untuk menghiburkan penonton pada konsert itu nanti,” katanya.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh penyanyi Rodziah Latif yang pernah popular bersama kumpulan The Jayhawkers dan The Wisma.
Kata Rodziah, pada awal konsert itu dihebohkan oleh pihak media, dia mengaku terkilan kerana namanya tidak tersenarai.
“Namun selepas mendapat tahu bahawa mereka mahu membuat penambahan, saya gembira kerana penganjur mengundang saya turut serta dalam konsert ini,” ujarnya.
Sementara itu, Jeffrydin yang terkenal dengan lagu Kenanganku menyifatkan penganjuran konsert itu sebagai satu penghargaan buat artis lama sepertinya.
“Irama pop yeh yeh kita lihat sudah semakin dilupakan oleh pendengar apatah lagi generasi baru.
“Dengan adanya penganjuran konsert sebegini, sekurang-kurangnya irama ini dapat dikongsi oleh bukan sahaja peminat tegarnya, tetapi generasi muda.
“Kita mahu budak-budak sekarang kenal irama pop yeh yeh walau zaman sudah berubah.
“Apa pun diharapkan, semua akan terhibur dengan persembahan barisan artis yang terlibat pada konsert itu minggu depan,” katanya.
Harga tiket persembahan dijual dari harga serendah RM40 hingga RM350.
Tiket-tiket boleh didapati di Ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600 atau telefon bimbit di talian 012- 369 5230.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: