REZEKI Zul Handy Black pada usia 37 tahun semakin murah dalam dunia lakonan. Dahulu periuk nasinya tertumpu dengan kumpulan rock Handy Black, kini wajahnya seakan mempunyai nilai tinggi untuk naskhah-naskhah filem seram.
Filem Santau dan Mantra antara lakonan seram Zul yang meninggalkan impak kepada penonton. Mengaku bahawa dia bersandarkan kepada wajah seram untuk meyakinkan pengarah, Zul melihat rezekinya dalam dunia lakonan semakin diterima apatah lagi setelah mengikat kontrak bersama syarikat perfileman MIG selama lima tahun.
"Memang tidak dinafikan pengarah lebih gemar menggunakan saya untuk filem seram. Mungkin mereka melihat wajah saya yang seram ini untuk menjadikan filemnya menjadi lebih seram," katanya sambil tertawa ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Biarpun pernah mengembangkan portfolionya dalam banyak genre filem termasuklah dalam filem Kembar Siang dan Bini-Biniku Gangster, figura Zul seakan lebih menonjol menerusi cerita misteri dan seram.
Selepas Mantra pada tahun lalu, Zul sekali lagi kembali berkerja dengan pengarah, Azhari Zain menerusi filem Keramat yang akan berada di pawagam pada 12 Januari ini.
Zul membawakan dua watak iaitu sebagai Nazmi dan Habib dalam filem yang turut dibarisi pelakon Rabecca Nur Al Islam, Mon Ryanti dan Harul Azreen itu.
Seakan sudah arif dengan selok-belok filem seram, Zul tidak berdepan banyak masalah untuk menjayakan filem itu.
"Oleh kerana sudah terbiasa dengan filem seram, saya tidak melalui banyak kesukaran untuk melakonkan watak Nazmir. Pengalaman berlakon dalam Mantra sebelum ini banyak yang saya bawakan kembali.
"Cuma kali ini membawakan dua watak yang berbeza karakter memang begitu sukar. Saya perlu menjadi seorang peguam yang hidup dalam dunia moden serta watak seorang lelaki zaman dahulu yang kuat beragama," terang Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphia'an Sa'ban.
Seterusnya Zul akan muncul menerusi filem Taikun dan Laki-laki pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: