Sunday, January 8, 2012

Senduk pekebun, sudip doktor gigi


WAHIDAN pernah menyediakan hidangan pencuci mulut terbaik daripada buah labu dalam cabaran peti saji misteri pada episod ke-45.


PADA malam ini program realiti televisyen MasterChef Malaysia, bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir dalam merebut gelaran MasterChef Malaysia.

Program realiti yang berasaskan dunia masakan itu akan mempamerkan kehebatan graduan perubatan pergigian, Ezani Farhana Md. Monoto, 26, dan pekebun Wahidan Ag. Supain, 42, dengan mengangkat senduk dan sudip pada malam ini.

Bakal bersiaran pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (saluran 104), Santapan Penamat MasterChef Malaysia membariskan juri-juri profesional yang terdiri daripada Chef Moh Johari Edrus, Chef Zubir Mat Zin dan Chef Mohd. Nadzri Redzuawan.

Juara MasterChef Malaysia akan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 selepas berhempas-pulas melunaskan beberapa cabaran sepanjang 60 episod yang disiarkan sebelum ini.

Sejauh manakah penyertaan anda dalam MasterChef Malaysia memberi impak kepada hidup anda?


DEBARAN setiap peserta pada setiap minggu dirasai apabila 18 orang telah disingkirkan sepanjang 60 episod rancangan itu.


EZANI (E): Pastinya besar dan banyak pendedahan yang saya peroleh dalam bidang kulinari. Ilmu yang diperoleh terus daripada ramai chef pakar ini pastinya memberi kelebihan kepada saya untuk menggali seberapa banyak mungkin kemahiran. Sekurang-kurangnya saya sudah mengisi sebuah portfolio besar untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang ini.

WAHIDAN (W): Biarpun kalah, semua yang bertanding dalam rancangan ini membawa pulang banyak ilmu yang berharga. Tempoh enam bulan saya berada di sini memberi peluang yang banyak untuk saya mencedok pelbagai ilmu terutamanya fokus saya dalam menyediakan masakan barat.

Apa yang penonton tidak tahu?

E: Seperti yang ditonton di kaca televisyen kami mempelajari banyak perkara termasuklah tip-tip penyediaan makanan. Tetapi apabila di luar kaca televisyen, saya menganggap mereka sebagai abang dan ayah kerana mereka banyak juga memberi kata-kata nasihat untuk diambil iktibar. Saya berpeluang bertanya apa yang tidak faham.

W: Sebenarnya apa yang dipelajari di sini hanyalah sedikit daripada ilmu dalam bidang kulinari dan masih banyak yang perlu diterokai. Namun begitu, saya perlu mencari peluang untuk berdampingan dengan chef-chef hebat.


CABARAN peti saji misteri menguji tahap pengetahuan dan kreativiti peserta pada setiap minggu.


Apakah pandangan anda kepada setiap orang juri?

E: Chef Riz seorang yang muda tetapi mempunyai pengalaman yang luas. Dia juga menonjolkan idea terkini dan lebih segar. Chef Zubir nampak garang tetapi dia lembut hati manakala Papa Joe seorang yang berpengalaman luas tetapi berpegang kepada kaedah yang bercirikan tradisional.

W: Papa Joe (Moh Johari Edrus) dan Chef Zubir ialah seorang yang berpengalaman luas. Mereka banyak menitikberatkan rasa dan teknik masakan. Biarpun Chef Riz masih muda, dia mempunyai kepakaran tinggi dan amat peka terhadap cara persembahan hidangan.

Hidangan paling baik yang pernah anda hasilkan ketika di MasterChef Malaysia?

E: Menerusi Cabaran Citarasa Chef Selebriti saya telah menghasilkan hidangan pemanis mulut daripada buah durian. Saya namakannya sebagai Baklava Durian yang dihasilkan menggunakan isi durian yang dibalut dengan pastri filo bersama kus-kus dan dihidangkan dengan kastad. Cabaran itu adalah ketika minggu keempat.

W: Dalam episod ke-45 iaitu melalui Cabaran Saji Misteri saya telah mendapat tempat pertama di kalangan peserta kerana menyediakan sejenis pencuci mulut daripada buah labu. Saya namakan hidangan itu sebagai Manisan Si Labu Labi. Biarpun kali pertama memasak hidangan itu, tetapi ilmu yang saya perolehi melalui kuliah Master saya praktikkan di situ.


SELAIN Kuliah Master, pesarta turut diberi pendedahan mengenai cara penyediaan masakan secara praktikal di dapur.


Jika perlu memilih salah satu antara rasa dan persembahan hidangan, apakah yang menjadi pilihan anda?

E: Saya pilih rasa. Walaupun kita memulakan hidangan dengan pandangan dahulu, tetapi apa yang lebih meninggalkan impak adalah rasa yang sedap. Makanan lebih dihayati melalui rasanya yang sedap.

W: Bagi saya rasa lebih penting kerana ia dinamakan sebagai makanan. Namun begitu persembahan yang menarik juga perlu seiring kerana selera akan bangkit dahulu daripada persembahan. Kalau persembahan cantik tetapi tidak sedap, ia tetap tidak boleh dimakan.

Apakah perancangan kalian di luar nanti apabila program ini tamat malam nanti?

E: Jika diizinkan Tuhan pastinya saya ingin lakukan kedua-duanya. Saya ingin menjadi seorang doktor gigi dan mempunyai sebuah restoran atau perniagaan katering kerana kedua-dua itu merupakan minat saya.

W: Memang berdebar menunggu keputusan juri kerana setiap peserta mempunyai impian masing-masing. Sejak dari dahulu lagi saya menyimpan azam untuk membuka sebuah restoran sendiri. Saya merancang untuk membuka restoran berasaskan gabungan hidangan Barat dan tempatan di negeri kelahiran saya, Sabah. Bidang perkebunan tidak akan pernah saya lupakan. Cuma impian saya kini selangkah ke hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: