Wednesday, January 11, 2012

Wajah baru Soda


Hitam warna klasik yang tidak pernah menjemukan.


MUNGKIN ramai peminat fesyen tidak tahu bahawa Soda merupakan salah satu label fesyen tempatan yang bernaung di bawah kumpulan Voir.

Jenama ini menjadi semakin mantap dengan penyertaan presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), Gillian Hung, sebagai penasihat kreatifnya.

Baru-baru ini bertempat di Pavilion Kuala Lumpur, telah berlangsung satu pertunjukkan fesyen Soda bersempena musim cuti tahun baru.

Sebanyak 83 rekaan baru dipertontonkan meliputi pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Menurut Gillian, pertunjukkan fesyen ini bukan satu pertunjukkan fesyen biasa kerana ia terus kepada golongan sasar iaitu penggemar fesyen tempatan.

"Selepas 10 bulan bertungkus lumus, kumpulan kami memang berpuas hati dengan hasilnya dan amat berbesar hati untuk menjenamakan semula Soda.

"Sudah tentu ini adalah langkah permulaan untuk Soda pergi lebih jauh lagi dalam bidang fesyen ini yang bukan sahaja tertumpu di pasaran tempatan malah juga antarabangsa," jelas Gillian.

Menurut Gillian lagi, industri fesyen merupakan satu industri yang amat kompetatif, jadi mereka harus mempunyai idea baru dan koleksi yang dapat mentaut hati pengguna.

Ini sekali gus mereka boleh bersaing dengan pakaian yang telah sedia ada di pasaran.

"Jenama Soda telah bertapak dalam dunia fesyen sejak 25 tahun dahulu. Soda memang mempunyai potensi kukuh dalam dunia ini.

"Apabila saya diberi kepercayaan untuk menjadi penasihat kreatif bagi Soda maka saya tahu saya hanya perlu memberikan suntikan kuat untuk mengubah jenama ini menjadi pilihan dan buah mulut masyarakat.

"Jadi inilah semangat kami yang diterjemahkan menerusi koleksi terkini Soda," jelas Gillian lagi.

Bersempena dengan majlis pertunjukkan fesyen tersebut, Soda turut memperkenalkan tagline terbaru mereka Inspirasi dari bandar untuk penduduk bandar (Inspired by the city for the city ) yang bermotif ke pasaran dunia bermula dari bandar.

Memilih rona merah sebagai warna utama bagi gambaran kepada keberanian dan keterbukaan penghuni kota menerima perubahan fesyen dan gaya.

Selain itu rekaan pada koleksi ini juga mengambil kira keunikan teknologi arkitek pembinaan bandar moden yang diterjemahkan dalam potongan pakaian yang ringkas, ranggi, dan sebagainya.

Bagi yang mahukan ciri gabungan mewah dan ranggi, pelbagai suntikan diberi bagi menambahkan keanggunan pada penampilan tanpa mengira masa dan tempat.

Tidak seperti musim percutian sebelum ini, penggemar fesyen pasti menemukan kelainan pada jenama Soda kali ini.

Adunan warna berani seperti jingga, keemasan dan perak di samping warna klasik seperti putih dan hitam memberi nafas baru terutama bagi mereka yang gemar mencuba sesuatu yang berbeza.

Pemilihan fabrik untuk koleksi kali ini juga dilakukan dengan lebih teliti dan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini. Tidak ketinggalan juga penggunaan fabrik yang dicetak dengan pelbagai motif menarik seperti gambar haiwan, bunga-bungaan, jalur dan juga pelbagai motif grafik lain.

Koleksi untuk lelaki dan wanita ini boleh didapati dari harga RM59 hingga RM396 di semua butik Soda dan Galeri Voir di pusat membeli belah utama di seluruh negara.

Soda Kids yang moden

Tidak ketinggalan juga fesyen untuk kanak-kanak tahun 2012 yang pastinya menjanjikan gaya yang lain dari yang lain.

Bertemakan Soda Pump Up Kids, Soda mengenengahkan gaya ranggi dan moden pada kanak-kanak. Bukan sekadar baju-T, kemeja, jaket, seluar dan skirt biasa, koleksi pakaian kanak-kanak ini juga mempunyai kelainan dari segi sentuhan yang dikatakan mempunyai lebih attitude.

Penggunaan fabrik kapas lycra, denim, jersi dan corduroy menampakkan ciri kemewahan gaya pada anak-anak.

Harga bagi koleksi kanak-kanak Soda ini bermula dari RM49 hingga RM269 dan ia boleh didapati di semua Soda Kids kaunter dan pusat membeli belah di seluruh tanah air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: