|
|
KELIKATAN kuahnya yang berwarna merah serta isinya yang padat dengan pelbagai makanan laut menjadikan tomyam sebagai sajian istimewa bagi Restoran Platinum Terrasse.
Tomyam yang disajikan di restoran itu mempunyai rasa yang seimbang dari segi pedas, masam, manis dan masinnya.
Justeru itu, pelanggan pastinya akan memesan tomyam selain hidangan lain.
Apatah lagi pada masa yang sama, tomyam kini antara masakan Thai yang menjadi pilihan rakyat tempatan.
Selain tomyam, Restoran Platinum Terrasse yang terletak di Lot G46, PV 128, Jalan Genting Klang, Setapak, turut menyediakan pelbagai jenis hidangan Thai yang lain.
Berusaha memberikan yang terbaik buat para pelanggannya, restoran itu menghidangkan masakan panas bersama bahan-bahan segar.
Menurut pengurusnya, Mohd. Zaidi Derahman, sebelum restoran tersebut memulakan operasi sekitar pertengahan Disember tahun lalu, pihaknya terlebih dahulu membuat kajian dan penyelidikan selama dua bulan.
Ia untuk menyediakan dan menyajikan yang terbaik buat para pelanggan.
"Sepanjang penyelidikan dan kajian yang dilakukan, kami mengambil kira semua aspek termasuk penyajian makanan.
"Sebelum menu ditetapkan, kami juga terlebih dahulu mencuba pelbagai masakan dan memilih yang terbaik di antara yang terbaik.
"Akhirnya kami memilih tema Thai dan makanan barat untuk disajikan kepada para pelanggan," ujarnya ketika ditemui di restoran tersebut, baru-baru ini.
Memilih untuk mengetengahkan konsep fine dining, ia menyuntik sedikit kelainan kepada restoran tersebut.
Selain tomyam, pelanggan boleh memesan menu lain. Antara yang menjadi pilihan ialah ikan siakap atau kerapu tiga rasa, udang sambal petai, kerabu mangga dan kailan ikan masin.
Menu-menu lain yang boleh dinikmati ialah nasi goreng nanas, nasi goreng Thai, nasi goreng udang, kuay teow goreng ayam, kuay teow goreng makanan laut serta kuay teow goreng Thai omelette.
Bagi menu masakan barat pula, para pelanggan boleh mencuba spagheti, rib eye steak ataupun lamb chop.
Untuk mencuba sesuatu yang berlainan, Restoran Platinum Terrasse turut menyediakan hidangan sizzling yang terdiri daripada pelbagai pilihan. Yang paling popular ialah sizzling makanan laut dan daging lembu.
Anda patut mencubanya kerana sudah pasti ia memberikan kelainan rasa dan sesuatu yang baru buat mereka yang gemar makan.
Tambah Mohd. Zaidi, pihaknya menyediakan tiga orang chef yang berpengalaman dan pakar dalam masakan Thai.
Bukan itu sahaja, pihaknya sentiasa menyajikan hidangan yang segar dan bahan-bahannya merupakan produk tempatan.
"Apa yang istimewa mengenai chef kami ialah ada antaranya merupakan chef kegemaran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Dalam pada itu, untuk setiap hidangan yang dihidangkan, kami dapatkan barangan yang segar setiap hari selain rempah ratus yang digunakan adalah produk tempatan.
"Yang pasti, kami ingin memberikan kelainan serta berharap mereka akan mengunjungi restoran ini lagi pada masa hadapan," katanya.
Dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, lagi satu keistimewaan yang ditampilkan di sini ialah penampilan live band pada setiap Rabu, Khamis dan Jumaat.
Untuk itu, restoran ini mampu memuatkan seramai 250 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Jadi bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru, apa kata kunjungi Restoran Platinum Terrasse untuk merasai sendiri bermula menu pembuka selera dan diakhiri dengan pencuci mulut.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan, bolehlah berbuat demikian di talian 013-4764768 (Mohd. Zaidi).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: