|
|
SOS untuk salad sering kali dipanggil dressing. Konsepnya berbeza-beza mengikut tempat dan budaya.
Ia merupakan sos yang digaul bersama salad ketika menikmatinya untuk menambah perisa, memperkayakan dan memberi rasa sedikit kemasaman supaya lebih enak.
Bagaimanapun sos salad yang dipilih untuk sesuatu salad yang disajikan perlulah sesuai dengan bahan-bahan yang digunakan.
Sebagai contoh, sos mustard agak kurang sesuai disajikan untuk salad buah-buahan tetapi sesuai untuk salad berasaskan daging, telur atau kentang.
Pemilihan bahan-bahan untuk membuat sos salad juga perlu sesuai dan segar kualiti bagi menghasilkan rasanya yang sedap.
Rasa sos sedikit masam daripada asid yang digunakan seperti cuka dan jus lemon, jadi sebaik-baiknya kemasamannya tidak terlalu tajam dan rasanya perlu seimbang.
Dalam kebudayaan Barat, Terdapat tiga jenis sos salad iaitu:
Sos berasaskan minyak dan cuka
Ia selalu merujuk kepada sos vinegrette dan french dressing iaitu satu campuran minyak zaitun dan cuka, kadang-kadang berperisa dengan herba, rempah ratus, dan bahan-bahan lain.
Paling biasa digunakan sebagai satu sos salad tetapi juga sebagai sos sejuk atau perapan. Untuk membuatnya kita menggunakan nisbah tiga bahagian minyak dengan satu bahagian cuka.
Cuka boleh digantikan semuanya atau sebahagian dengan asid lain seperti jus buah-buahan sitrus. Anda hanya perlu mengacau semuanya dan seimbangkan rasanya.
Sungguh mudah tetapi setiap kali ingin menggunakan goncang dengan sekata kerana jika ia tidak dikacau rata minyak dan cukanya akan terpisah. Jadi tidak enak untuk menikmatinya.
Sos salad berkrim
Sos salad berkrim biasanya berasaskan mayonis. Ada juga sos salad jenis ini yang mengandungi yogurt, krim masam, susu mentega, susu atau creme fraiche.
Mayonis merupakan sos salad yang paling stabil. Ia merupakan sebatian kekal kerana tidak mudah terpisah atau pecah minyak.
Ia mengandungi minyak, cuka dan kuning telur yang berfungsi mengikat tekstur mayonis daripada pecah minyak.
Mayonis yang baik adalah pekat atau kental dan kelihatan berkrim. Teksturnya pula anjal dan berwarna putih gading. Ia mudah disapu dan melekat jika disenduk.
Mustard dan jus lemon sering diletakkan untuk memberi rasa tambahan pada mayonis.
Sekiranya anda bercadang membuat mayonis sendiri di rumah pastikan bahan-bahannya dibiarkan pada suhu bilik.
Walaupun saya faham mayonis mudah dibeli di pasar raya, namun sesekali membuat sendiri di rumah akan memberikan pengalaman yang begitu berharga.
Uniknya mayonis ini boleh dipelbagaikan dengan mencampur bahan-bahan lain menjadi suatu sos dengan rasa baharu.
Terdapat banyak sos yang boleh dibuat daripada mayonis seperti Thousand Island, mayonis kari dan sos koktel.
Sos salad yang dimasak
Sos ini menyerupai sos salad berkrim. Biasanya ia akan dipekatkan dengan menambahkan kuning telur dan dipanaskan dengan perlahan.
Selain itu ia mengandungi kurang minyak berbanding sos vinegrette, French dressing dan mayonis.
Orang Asia juga ada sos saladnya yang tersendiri . Ia biasa menambah minyak bijan, sos ikan, jus sitrus, atau kicap untuk kuah-kuah salad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: