“SAYA mula memasak sejak dari sekolah rendah lagi. Bayangkan ketika kecil kerana tidak cukup tinggi, saya berdiri di atas kerusi sambil menggoreng keropok ikan. Saya tahu berbahaya tetapi dari situ, memasak menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya.
“Ibu pula tidak pernah menghalang malah sentiasa bersabar dengan keletah saya yang sentiasa sibuk membantunya di dapur. Hasilnya ketika di sekolah rendah, saya sudah mahir memasak puding. Malah ketika di sekolah menengah saya mula berjinak-jinak dengan buku resipi milik ibu untuk mengikuti dan memahami resipi dengan cara saya sendiri.
“Saya sudah mengenali apa itu kuih raya, brownies, paella dan crumble serta membantu ibu menjual kuih raya,” ujar Ezani Farhana Md Monoto, 27, lancar kala mengenang kembali zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan sisi kegembiraan di dapur bermain dengan bahan masakan, tepung dan minyak, berbeza dengan kanak-kanak lain.
Tidak hairan juara Masterchef Malaysia musim pertama ini dilihat tidak kekok beraksi di dapur rancangan Masterchef walaupun dia langsung tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang kulinari kerana kehidupannya hanya dikelilingi pembelajaran berkaitan pergigian di Universiti Adelaide, Australia selama enam tahun.
Namun kesukaran mendapatkan makanan halal memberi peluang kepada Ezani meneroka pelbagai jenis masakan dengan tujuan mengisi perut sendiri. Ditambah pula kemudahan mendapatkan bahan mentah dengan harga yang murah dan segar menjadikan gadis kelahiran Muar, Johor ini bersemangat menyediakan hidangan untuk setiap waktu makannya.
“Saya masih ingat ketika itu program Masterchef Junior Australia mula ditayangkan dan menjadi perbualan hangat masyarakat di sana. Ia menjadi antara rancangan popular dan ditonton segenap lapisan masyarakat.
“Saya tidak ketinggalan mengikuti setiap episod. Malah setiap kali menonton perasaan geram begitu membuak-buak apabila melihat kanak-kanak ini boleh memasak dengan begitu hebat ibarat seorang chef yang handal.
“Saya mula membaca blog masakan, mempelajari semua tip, teknik dan kemahiran memasak serta mencuba resipi yang lebih teknikal seperti membuat pastri, macaroon, pastri choux dan makanan Barat lain sekadar untuk mencabar diri. Hasilnya, sedikit demi sedikit saya mula mendalami ilmu masakan terutama masakan Barat dan jatuh cinta dengan dunia masakan,” katanya.
Sebagai tukang masak yang percaya kepada naluri dan selera, Ezani tidak seratus peratus mengikut seperti mana yang dipaparkan dalam resipi. Resipi hanya sebagai rujukan dan panduan asas saja sebaliknya dia lebih gemar meneroka pelbagai perisa baru bagi mendapatkan rasa yang lebih sedap dan enak.
“Sebagai seorang yang tidak mempunyai latihan asas kulinari, pendekatan saya terhadap makanan adalah untuk tidak terlalu serius. Walaupun adakalanya masakan saya tidak seratus peratus menjadi, tetapi ia satu eksperimen dan menerusi pengalaman, ia mengajar saya untuk menjadi tukang masak yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Jika dilihat di dalam rancangan Masterchef Malaysia, Ezani antara peserta yang paling konsisten serta mempunyai kebolehan mempelbagaikan rasa masakan mengikut cara tersendiri. Baginya, setiap makanan yang baik harus mempunyai rasa yang ringkas dan tidak terlalu pelbagai.
“Biasanya saya akan mendahului rasa berbanding persembahan makanan. Apabila kita sudah mendapat rasa sesuai, secara semula jadi penampilan hidangan akan nampak segar, hebat dan menyerlah,” katanya yang juga gemar mengambil gambar makanan untuk dimuatkan dalam blog peribadinya, www.zestbyezani.com.
Bagi Ezani, bergelar juara Masterchef Malaysia bukanlah sesuatu yang dijangka. Namun ketika di universiti, Ezani pernah menulis di dalam buku tahunan yang impiannya ingin memasak seperti seorang masterchef dan impian itu benar-benar menjadi kenyataan.
“Saya tidak sangka angan-angan saya menjadi kenyataan. Bergelar juara Masterchef Malaysia musim pertama adalah sesuatu yang paling membanggakan dan meninggalkan kenangan manis kerana program ini menjadi rancangan realiti yang penuh dengan inspirasi dan menjadi medium bagi saya berkongsi minat dalam bidang masakan dengan semua orang, terutama pencinta makanan.
“Dengan gelaran†Masterchef Malaysia ini, saya tahu semua orang mengharapkan saya menjadi tukang masak amatur terbaik tetapi saya mengaku masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari,” katanya.
Ujar gadis manis yang bijak menggayakan selendang ini, dia tidak pernah terfikir menyertai rancangan ini ketika diiklankan di Astro. Namun atas desakan rakan-rakan yang mengetahui kebolehannya dalam bidang masakan, Ezani memberanikan diri mencuba.
“Ketika uji bakat saya membawa kek lobak merah yang menjadi masakan kegemaran saya. Malah di Australia, kek ini sentiasa menjadi hidangan rakan yang menyambut hari jadi mereka,” ujarnya yang sekali lagi terpaksa menangguhkan penempatan tugas di Sabah kerana terikat dengan kontrak selama tiga tahun.
Walau apa sekali pun, Ezani mengakui dia akan tetap meneruskan kerjaya sebagai doktor gigi demi memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Dia tidak akan mempersia-siakan peluang diberikan kerajaan dengan menaja pengajian di Australia. Pada masa sama, dia akan mengikut semua aktiviti diberikan Astro dalam merencana perjalanan karier sebagai seorang chef.
“Dengan wang kemenangan, mungkin saya akan jadikan modal untuk membuka perniagaan. Apa yang ada dalam fikiran saya adalah sebuah kafe manisan eksklusif bagi membolehkan pelanggan merasai pelbagai jenis manisan Malaysia juga antarabangsa di samping menjadi doktor gigi berwibawa. Namun itu semua hanyalah impian dengan harapan ia menjadi kenyataan,” katanya sambil ketawa.
Dia turut akui mengagumi chef selebriti, Datuk Chef Wan yang mempunyai aura tersendiri dalam bidang masakan sehingga dikenali di pelusuk dunia. Malah kepakaran bukan dalam bidang kulinari tetapi sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang akauntan dan menceburi bidang masakan sepenuhnya.
“Kebolehan beliau dalam bidang masakan memberi inspirasi kepada saya terutama daripada segi kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai usia. Dia bukan setakat bijak memasak tetapi mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan peminatnya,” jelasnya yang bercadang mengambil kelas masakan secara formal bagi mengukuhkan lagi pengetahuan serta kebolehan dalam mempelbagaikan masakan.
Ezani berharap, program masakan realiti Masterchef Malaysia ini akan diteruskan pada musim kedua kerana rancangan ini membuka lembaran baru dalam dunia masakan sekali gus memberi tekanan kepada industri makanan amnya supaya memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Ini kerana masyarakat kini sudah mempunyai ilmu dan turut berkebolehan menilai persembahan serta kualiti makanan yang dihidangkan.
Bagi ibu Ezani, Bidah A Hamid, sikap anaknya yang sentiasa tenang, tidak gelabah, bersedia menghadapi cabaran dan melakukan sesuatu perkara tanpa tekanan mendorong kejayaannya selama ini. Mungkin kerana didikan serta status sebagai doktor gigi yang perlu berhadapan dengan pesakit sedikit sebanyak membentuk peribadi dirinya menjadi seorang yang bijak menangani tekanan serta bersahaja.
Mendedahkan rahsia kejayaan anak bongsunya, bekas pengetua Sekolah Menengah Bandar Baru Seri Petaling ini sentiasa memberikan semangat kepada Ezani dalam apa juga perkara yang ingin dilakukannya. Namun ketika kali pertama diberitahu yang dia berminat menyertai pertandingan Masterchef Malaysia, memang dia sedikit terkejut.
“Namun memikirkan dia baru saja tamat pengajian dan masih belum bekerja, saya dan keluarga memberikan galakan sepenuhnya. Tambah pula dia begitu berminat dalam bidang masakan. Apa salahnya dia mencuba selain mendapat pengalaman baru,” katanya yang turut berkebolehan memasak pelbagai jenis masakan termasuk makanan kampung, Barat dan pelbagai jenis biskut.
Menurut Bidah, sejak kecil dia memang memberi tunjuk ajar kepada dua anak perempuannya iaitu Ezura Madiana dan Ezani supaya mereka tidak kekok di dapur.
“Pada saya tidak kira anak lelaki atau perempuan, ibu bapa harus memberi galakan kepada anak-anak supaya mereka membiasakan diri melakukan kerja-kerja di dapur.
“Apabila saya memasak saya akan memberikan bahan yang tidak berbahaya kepada mereka supaya mereka tidak mengganggu saya. Apabila mereka sudah boleh diharap, barulah saya membiarkan mereka memasak makanan kegemaran mereka.
“Bagi Ezana dia lebih cenderung memasak pasta, Ezani lebih menggemari salad dan pai serta masakan Barat yang dilihat lebih mudah dan ringkas manakala saya lebih kepada masakan kampung yang banyak menggunakan ulam-ulaman dan sayur-sayuran,” katanya.
10 perkara mengenai Ezani Farhana
1. Sekiranya tidak menceburi bidang pergigian dan masakan, apakah bidang lain yang mungkin Ezani akan ceburi?
Jurugambar di bidang pelancongan dan makanan. Ini kerana ia paling ideal dengan kegemaran saya iaitu melancong, makan dan mengambil gambar.
2. Ciri-ciri lelaki idaman?
Tiada ciri-ciri khusus. Apabila sudah serasi dan bertemu jodoh si dia adalah lelaki idaman saya.
3. Siapakah tokoh terkenal tanah air yang Ezani ingin jumpa?
Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
4. Ramai menyukai fesyen tudung Ezani kerana kemas dan menarik. Daripada mana Ezani belajar cara memakai tudung sebegitu?
Saya hanya mencuba dan nampak sesuai dengan bentuk wajah dan penampilan.
5. Lima perkara menggambarkan diri Ezani?
Tenang, mudah senyum, keras kepala, berdikari dan sedikit tomboy.
6. Makanan kegemaran dan mengapa?
Terlalu banyak kerana saya memang suka menikmati makanan.
7. Negara yang ingin dikunjungi?
Maghribi kerana saya ingin menikmati semua makanan yang ada di sana.
8. Apakah menu yang perlu ada dalam hidangan keluarga?
Sambal goreng Jawa.
9. Bilakah akan menamatkan zaman bujang?
Tidak berani meletakkan had usia kerana takut terlajak.
10. Dari mana datangnya nama zest?
Saya memang menggemari citrus zest iaitu kulit buah-buahan sitrus. Malah rakan-rakan dari Masterchef menggelar saya Zesty Zani kerana kecenderungan saya menggunakan sitrus dalam masakan ketika berada di dapur Masterchef.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: