Thursday, January 26, 2012

Terap kemahiran guna senjata api


AHMAD SHABERY (dari kiri), Hishammuddin dan Razali membidik sasaran di Pusat Simulasi Menembak Belia Anti Jenayah di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membangunkan Pusat Simulasi Menembak Belia Anti Jenayah di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini sebagai satu langkah untuk melatih golongan belia dalam membanteras jenayah.

Pusat tersebut yang menggunakan peralatan dan teknologi canggih dari Korea bakal menjadi tempat untuk mempelajari kaedah pengendalian senjata api bagi golongan muda.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kewujudan pusat itu adalah tanda keprihatinan KBS terhadap peningkatan jenayah terutama terhadap remaja sejak kebelakangan ini.

Ujarnya, ia juga bertujuan memupuk minat golongan belia dalam isu keselamatan dan ketenteraman awam menerusi aktiviti menembak.

"Oleh sebab itu, pengisian aktiviti juga adalah berkaitan dengan keselamatan dan kemahiran pengendalian senjata api.

"Ia bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan di samping memperluaskan khidmat tenaga belia untuk membantu mempertahankan keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di pusat itu di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: