Wednesday, January 11, 2012

Simple Plan bantu remaja bermasalah


BAKAL mempromosikan album keempat mereka yang bertajuk Get Your Heart On.


Mungkin tidak ramai mengetahui mengenai Yayasan Simple Plan. Namun ia antara yayasan yang aktif menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan di seluruh dunia sejak ditubuhkan 2005.

Menurut kumpulan pop punk dari Kanada itu, idea penubuhan yayasan itu timbul apabila kebanyakan wang yang disalurkan untuk beberapa badan dan persatuan bagi membantu mereka yang memerlukan tidak pernah sampai kepada tangan yang sepatutnya

Justeru melalui yayasan yang ditubuhkan itu, lima sekawan Pierre Bouvier (vokal), Jeff Stinco (gitar), Sébastien Lefebvre (gitar kedua), David Desrosiers (bass) dan Chuck Comeau (drum) yakin dapat membantu menyalurkan bantuan khususnya melalui sokongan kewangan di seluruh dunia.

Malah untuk meringankan beban mangsa gempa bumi di Jepun baru-baru ini, Simple Plan turut menjual t-shirt yang memaparkan tulisan Simple Plan Help Japan untuk peminatnya dari seluruh dunia.

Hasil jualan tersebut disalurkan sepenuhnya kepada pihak Pertubuhan Palang Merah bagi membantu mangsa-mangsa di negara matahari terbit tersebut.

“Kini fokus kami adalah untuk membantu para remaja seluruh dunia yang mengalami masalah tekanan dan penyalahgunaan dadah,” kata mereka yang bakal beraksi di Kuala Lumpur pada 14 Januari ini.

Beraksi di ibu negara

Bertempat di KL Live, Jalan Sultan Ismail, buat julung kalinya Simple Plan akan beraksi di negara ini dalam konsert siri jelajah dunia bagi mempromosikan album terbaru, Get Your Heart On.

Sudah pasti peminat tegar kumpulan itu dan penggemar pop punk tidak sabar menantikan kemunculan mereka yang sebelum ini pernah popular dengan lagu-lagu seperti Perfect, I’m Just a Kid dan Addicted yang dipetik dari album sulung mereka No Pads, No Helmets... Just Ball pada tahun 2002.

Pernah mendapat pelbagai pengiktirafan melalui muzik yang diperjuangkan, kumpulan tersebut juga telah mengadakan 300 persembahan di seluruh dunia dengan Jepun mencatatkan jualan tiket tertinggi.

Simple Plan sebelum ini pernah diangkat sebagai kumpulan muzik nombor satu Kanada sebanyak lima kali berturut-turut melalui undian yang di jalankan MuchMusic Video Awards.

Persembahan di Kuala Lumpur dibawakan oleh Tunetalk dan JS Concert Productions dengan kerjasama Fat Boys. Tiket-tiket berharga dari RM98 hingga RM258.

Untuk lebih maklumat peminat juga boleh melayari www.ticketpro.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: