Sunday, January 8, 2012

Sentuhan Cameron Crowe




TERKENAL dengan filem Jerry Mcguire dan Almost Famous, kali ini sutradara Cameron Crowe menganyam sebuah filem yang berlandaskan kisah benar. Filem We Bought A Zoo merupakan naskhah yang diangkat daripada memoir Benjamin Mee.

Matt Damon, aktor yang sebelum ini sinonim dengan filem trilogi Bourne diberi tanggungjawab oleh Cameron untuk membawakan karakter Benjamin Mee, duda dengan dua anak iaitu Rosie dan Dylan yang juga merupakan seorang pemilik zoo.

Filem ini mengisahkan perjalanan Benjamin yang mahu memulakan kehidupan baharu setelah kehilangan isterinya. Benjamin membeli rumah dengan zoo di belakang rumahnya. Awalnya, Benjamin menolak untuk menjaga zoo tersebut bagaimanapun dia akhirnya merubah fikiran. Benjamin kemudian bertemu dengan pekerja zoo, Kelly Foster lakonan Scarlett Johannsson.

Sebuah filem yang menangkap jiwa, sutradara Cameron Crowe tidak pernah gagal dalam memberi tawa, tangisan dan membuatkan penonton kekal dengan pelbagai rasa sepanjang menonton filem ini.

Sedikit perlahan di permulaan cerita namun kemudian penonton disajikan dengan sebuah filem dengan pengembaraan sinematik yang menarik.


AKTOR Matt Damon (kanan) dan Scarlett Johanson adalah gandingan baharu pilihan Cameron Crowe.


Masuk ke dalam penceritaan yang menyajikan drama, sutradara ini juga tidak pernah gagal dalam memberikan lagu-lagu yang menarik melatari filem ini. Antara lagu-lagu yang hadir dalam filem ini adalah Don't Come Around Here No More oleh Tom Petty, Cinnamon Girl nyanyian Neil Young dan Hoppipolla oleh Sigur Ros.

Konflik utama cerita ini datang daripada kedegilan Benjamin dan Dylan yang sentiasa mempunyai masalah dalam berkomunikasi sebagai anak dan ayah. Beberapa adegan menarik perhubungan ini merupakan saat-saat yang menarik dengan skrip yang realistik dan bersahaja.

Matt Damon memberikan persembahan yang baik dalam membawakan karakter Benjamin Mee. Aktor itu merupakan jantung filem ini dan roh kepada famili Benjamin Mee.

Komen Sofia: Sentiasa sukakan pilihan lagu-lagu Cameron Crowe dan lakonan Scarlett Johannsson.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: