UNTUK sebuah penantian selama 15 tahun, Konsert 30 Tahun Fenomena Search yang berlangsung pada 31 Disember lalu boleh dianggap sebagai bayaran memuaskan buat para pecinta tegar mereka di Kuching, Sarawak.
Bertempat di Stadium Negeri Sarawak, lokasi itu menjadi tanda buat 15,000 peminat Search mempamerkan kesetiaan buat grup yang ditubuhkan pada tahun 1980-an itu.
Grup Search dibawakan oleh pihak penganjur bersama, Universal Credential dan Mova Music (M) Sdn. Bhd., lokasi kedua di Borneo selepas mereka menggegarkan Tawau, Sabah.
Sebelum ini ada mulut-mulut nakal mendakwa konsert Search mendapat sambutan hangat berikutan pengagihan lebih 11,000 tiket percuma pada konsert terdahulu namun aksi di Kuching membuktikan dakwaan itu hanyalah omong kosong tepi tingkap.
Konsert yang dianggar menjana lebih RM400,000 melalui hasil penjualan tiket semurah RM25 itu dianggap momen penutup terindah Search pada 2011.
Sebelum ini, Search berdepan dengan reaksi peminat yang kurang berpuas hati terhadap sistem bunyi, namun masalah teknikal itu tidak muncul sama sekali dalam konsert kali ini. Begitu juga dengan kualiti konsert di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Tawau.
Sistem bunyi terbaik yang ditokok dengan pencahayaan menambah tenaga Search dan persekitaran konsert terjalin cantik. Komposisi itu ternyata membidik hati setiap yang menonton dan sentiasa terhibur sepanjang tiga jam berkonsert. Mengambil kembali motto Kid, pemain gitar utama yang menyatakan 'play the best as you can like there is no tomorrow,' permainan muzik kelima-lima hero rock itu sangat memuaskan hati.
Jarang-jarang sekali melihat kelibat Nordin atau Din berlari dan bergoyang atas pentas bersama gitar Gibson Les Paul dan Kremmernya, tetapi malam 31 Disember lalu, Din bergaya penuh energetik serangkai dengan tenaga anggota Search yang lain.
Tembakan repoirtaire lagu-lagu yang disusun cantik membuatkan khalayak terbuai daripada satu lagu ke lagu yang seterusnya. Antara yang menjadi nyanyian bersama Search dan para peminat mereka ialah Langit Dan Bumi, Pelesit Kota, Balada Pemuzik Jalanan, Isi Atau Kulit, Gadis Misteri, Bisa, Gothic Malam Edan, Paranoid, Isabella dan Fantasia Bulan Madu.
Menjadi penutup dan sebuah kenangan yang dikongsi bersama, Search menampilkan anak-anak kesayangan mereka bersama-sama menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu atas pentas. Seperti sebuah perkongsian famili besar, lagu ini menjadi saksi kepada sebuah pertemuan keluarga sebenar dan keluarga peminat di bawah langit tahun baru di Kuching, Sarawak.
Search tidak pernah gagal melantunkan irama cinta mereka, setiap kali itu kumpulan rock yang dianggap legenda tersebut pasti membikin pernyataan Search yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: