Wednesday, January 11, 2012

Rock Melayu abadi dalam piring hitam


ISTERI dan anak-anak turut terhibur dengan hobi Anuar.


HAMPIR setiap petang selepas pulang dari kerja, Anuar Jamaluddin akan memainkan lagu-lagu kegemarannya di rumah bagi menghilangkan tekanan.

Meminati kumpulan-kumpulan rock Melayu sekitar 1980-an hingga 1990-an, kumpulan seperti Search, Wings, May, Lefthanded dan SYJ menjadi pilihan penjawat awam berusia 38 tahun ini.

Namun, bezanya Anuar dengan peminat tegar muzik Rock melayu yang lain ialah dia melayan alunan irama 'keras' itu melalui vinil atau lebih dikenal sebagai piring hitam miliknya.

Sanggup berbelanja besar iaitu RM100 hingga RM350 demi memiliki piring hitam kumpulan-kumpulan idaman yang sukar didapati, Anuar kini memiliki sehingga 61 keping cakera hitam kumpulan rock Melayu lama.

"Piring hitam dikeluarkan sehingga dalam tahun 1993, sekitar zaman kegemilangan muzik Rock kerana selepas itu syarikat rakaman banyak mengeluarkan album dalam bentuk kaset dan kemudian cakera padat.

"Bagusnya piring hitam ialah walau sudah berpuluh tahun dikeluarkan, kualiti bunyinya masih elok dan jelas, berbeza dengan cakera padat dan kaset yang mudah rosak.

"Koleksi lagu rock Melayu sekitar 1985 hingga 1993 lebih sukar didapati berbanding piring hitam genre muzik lain," katanya yang turut mengumpul piring hitam genre lain yang berjumlah kira-kira 185 keping.

Piring hitam kumpulan Search, Wings, May, Lefthanded, BPR, Bloodshed, SYJ, XPDC, Sofea, Febians, Riyadh, Massa, Scarecrow, Gersang, Medicine, Dinamik, UG14 dan U-Topia adalah antara yang berada dalam koleksi bapa kepada tiga orang anak ini.

Menurut Anuar, dia pernah memburu sehingga ke Pulau Pinang bagi mendapatkan piring hitam idamannya menerusi rakan yang dikenali menerusi Internet selain menemuinya di bazar mingguan seperti di Amcorp Mall, Petaling Jaya serta bantuan rakan-rakan sehobi dengannya.

Dia turut berusaha bertemu dengan ahli-ahli kumpulan Rock idolanya seperti kumpulan Wings ketika persembahan di Istana Budaya dan Mus dari kumpulan May di studionya di Danau Kota bagi mendapatkan tandatangan mereka kerana piring hitam lebih berharga jika ditandatangani mereka.

Mengimbas kenangan, ahli kumpulan Wings pernah melahirkan rasa kagum dengan koleksi piring hitam milik Anuar itu kerana mereka sendiri tidak memiliki beberapa album sendiri dan sedang berusaha mencarinya.

Menurut Anuar, dia masih cuba menjejaki beberapa album piring hitam idamannya seperti dari kumpulan Iklim dan Rusty Blade.

Dia turut sedang berusaha menjejaki album Search yang pertama iaitu Cinta Buatan Malaysia dan kumpulan Wings iaitu Hukuman Karma bagi melengkapi koleksi kumpulan Search dan Wings.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: