BARU-BARU ini, pengimport dan pengedar tunggal kenderaan Jaguar di Malaysia, Sisma Auto Sdn. Bhd. (Sisma Auto) memperkenalkan barisan produk Jaguar XF siri 2012 untuk pasaran tempatan. Pelancaran yang berlangsung di bilik pameran Jaguar di Pavilion, Kuala Lumpur menyaksikan kehadiran tiga varian iaitu XF 3.0 petrol, XF 3.0 diesel S dan XFR 5.0 supercharged.
Model XF mula diperkenalkan di negara ini pada April 2008 dan telah meraih sebanyak 88 anugerah daripada media tempatan dan antarabangsa. Ketiga-tiga varian baharu itu merupakan jentera yang diimport sepenuhnya (CBU) dan menerima penambahbaikan pada bahagian luaran serta dalaman.
Bahagian hadapan varian XF 2012 dilengkapi lampu jenis bi-xenon dan lampu LED DRL (daytime running lights). Lampu belakang turut menggunakan butiran LED. Model kali ini turut diberi gril radiator baharu.
Menempatkan lohong berbentuk segi tiga di bahagian kiri dan kanan jentera, fendar baharu dan garisan pada bahagian hud menimbulkan lagi sifat gah Jaguar. Adunan komponen tersebut menjadikan wajah kereta sport saloon itu semakin mewah sewaktu menyusuri jalan raya.
Penambahbaikan bahagian dalam membabitkan pemasangan sistem navigasi satelit Jaguar dan sistem bunyi hiburan yang ditingkatkan kuasanya kepada 400watt berbanding 140watt sebelum ini.
Pengarah Urusan Sisma Auto, Syed Hussain Syed Mohamed berkata, pihaknya gembira untuk memulakan tahun 2012 dengan pengenalan siri XF yang terbukti popularitinya di Malaysia. Sisma Auto juga berharap dapat memberi saingan khususnya dalam segmen kenderaan premium tempatan.
Model XF 3.0 L petrol dilengkapi enjin V6 yang berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 238PS pada 6,800rpm. Tork maksimum ialah 293Nm @ 4,100rpm. Transmisi yang digunakan ialah enam kelajuan automatik. Masa yang diperlukan bagi pecutan 0 kilometer (km) hingga 100km cuma 8.3 saat.
Bagi varian diesel pula, ia memiliki masa pecutan 0km hingga 100km lebih pantas berbanding enjin petrol 3.0 L XF. Masa pecutan hanya 6.4 saat dengan perbezaan sebanyak 23 peratus. Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik, jentera XF 3.0 diesel S yang bersesaran 2,993cc berupaya menghasilkan kuasa maksimum dan tork maksimum 275PS @ 4,000rpm dan 600Nm @ 2,000rpm.
Jaguar XFR 5.0 supercharged mengguna khidmat enjin V8 (sesaran 5,000cc). Ia mampu menjana kuasa dan tork maksimum sebanyak 510PS @ 6,000 - 6,500rpm. Tork maksimum pula 625Nm @ 2,500 - 5,500rpm. Turut mengaplikasikan transmisi automatik enam kelajuan, jentera itu hanya mengambil masa 4.9 untuk pecutan 0km - 100 km.
Had kelajuan maksimum ketiga-tiga varian ini ialah 250 km/j. Harga bagi XF 3.0 petrol dan XF 3.0 diesel S ialah RM488,888 dan RM509,888 seunit. Model XFR 5.0 supercharged pula ditawarkan pada harga RM888,888 sebuah. Semua harga berkenaan tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: