PETALING JAYA: Pelakon Memey Suhaiza,24, mengakui berhadapan dengan pengalaman luar biasa menguruskan tiga anak tirinya selama sebulan sempena cuti penggal persekolahan lalu.
Memey berkata, ketiga-tiga mereka iaitu Mohamed Danish Hakim,9, Marissa Dania Hakim,7 dan Maria Danisha Hakim,4, mempunyai perangai berbeza tetapi dia sangat gembira dapat bersama-sama mereka.
“Si abang (Danish) pendiam sikit. Dia lebih suka main Internet manakala dua orang lagi sangat aktif. Saya tak berani nak bawa mereka berjalan-jalan kalau tak ada Abang Norman,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Memey, sepanjang bulan Disember lalu dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana memegang amanah suaminya, Norman Hakim, 36, yang mahu dia menguruskan anak-anak.
Katanya, pengalaman itu sangat berguna kerana ia dapat dijadikan persediaan sekiranya dia memiliki anak sendiri suatu hari nanti.
“Saya dah janji nak bawa budak-budak tu jalan-jalan sempena cuti sekolah. Kebetulan pula Abang Norman sibuk, jadi saya ambil tanggung jawab untuk menjaga mereka.
"Lagipun anak-anak Abang Norman semuanya sudah biasa dengan saya. Tak ada masalah lagi untuk menguruskan mereka. Tetapi kalau tak ada suami, saya jadi kelam kabut juga,” ujarnya.
Memey turut memberitahu, sempena pembukaan sesi penggal persekolahan pada Selasa, dia dan Norman turut menguruskan kemasukan dua anak mereka iaitu Mohamed Danish yang belajar di tahun tiga, Sekolah Kebangsaan St. John I, Bukit Nanas sementara Marissa Dania pula bersekolah pada tahun satu Sekolah Convent, tempat yang sama.
Katanya, segala persiapan persekolahan termasuklah pakaian telah diuruskan mereka lebih awal agar tidak menjadi kelam kabut jika dibuat pada saat-saat akhir.
Ditanya reaksi bekas isteri Norman iaitu Abby Abadi apabila dia mengambil tanggungjawab berkenaan, Memey berkata dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah malah bersyukur keadaan menjadi semakin baik.
Memey berkata dia juga selalu memberitahu Norman agar mengajak Abby sekiranya mereka keluar bersama anak-anak dalam usaha untuk menjernihkan keadaan.
“Kadang-kadang kalau kami pergi makan bersama anak-anak, Abang Niorman ada juga pelawa Abby bersama,” jelasnya yang gembira dengan perkembangan itu.
Ditanya tentang percutian berbulan madu selepas bergelar suami isteri pada 24 September lalu, Memey berkata hasrat untuk melancong ke Paris, Perancis tidak dapat dilaksanakan kerana masing-masing sibuk.
Bagaimanapun kedua-duanya berhasrat untuk melancong ke Hong Kong ataupun China pada bulan Mac depan kerana pada tarikh itu masing-masing tidak lagi sibuk dengan tawaran berlakon.
Mengenai cahaya mata pula Memey berkata, dia dan Norman sudah bersedia untuk mendapat anak pada tahun ini dan berharap rezeki itu dimakbulkan Allah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: