PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahira atau Shira memberitahu dia ingin kembali melakonkan watak serius dan bukannya tertumpu kepada peranan sebagai pelakon komedi semata-mata.
Shira berkata, dia sudah lama memasang hasrat untuk kembali mempelbagaikan wataknya dalam dunia lakonan tetapi kecewa kerana tidak lagi ditawarkan oleh pihak penerbit.
"Sekarang orang lebih nampak saya sebagai seorang pelakon komedi walaupun pada asasnya saya bermula dengan watak-watak lebih serius.
"Mungkin sebab itu pihak penerbit tidak lagi mahu menawarkan watak yang lebih serius kepada saya," ujarnya kepada mStar Online.
Shira bagaimanapun berkata, dia tetap bersyukur dengan segala tawaran diberikan kerana itu adalah sumber pendapatannya dan dia tidak boleh terlalu memilih.
Pelakon berusia 37 tahun ini pernah popular dengan siri Mat Despatch selain pernah membintangi filem Femina dan Cinta Kita di samping pelakon Datin Sofia Jane dan Arman Graseka pada awal 1990-an.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terbaru dirinya, Shira berkata, dia bakal sibuk dengan beberapa penggambaran drama dan telefilem selain akan menjalani latihan untuk pementasan teaterikal Bila Hati Digeletek di Istana Budaya pada September depan.
Shira berkata, dia teruja dengan persembahan tersebut kerana ia menggandingkan ramai nama besar dalam industri komedi negara ini di atas satu pentas sama.
"Pertama kali ramai pelawak terkenal tanah air akan bergabung dan berpadu tenaga untuk satu persembahan hebat di Panggung Sari, Istana Budaya dan saya cukup teruja dengan persembahan itu nanti," ujarnya.
Terdahulu, Shira mengesahkan akan meninggalkan Suria FM kerana kontraknya bersama stesen itu akan berakhir pada 24 Januari ini.
Shira berkata, selain soal kontrak, keputusan untuk meninggalkan stesen itu adalah kerana dia mahu mencuba perkara baru dalam kerjaya seninya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: