Gantung

ALOR SETAR - Seorang pekerja pembersihan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas kesalahan mengedar kanabis seberat 2.532 kilogram, dua tahun lalu.

Mohd Zulkifli Md Ridzuan, 36, yang bekerja di Pulau Pinang, melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.30 malam, 19 Ogos 2010, di hadapan gerai Rumah Makan Intan Penjaja Taman Cengkok Manis, Lunas, Kulim.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim berkata, keterangan pembela menyatakan bahawa dadah yang dijumpai adalah milik individu bernama Suri, namun dinafikan saksi pendakwaan yang menyatakan bahawa dia tidak mengenali Suri.
Malah, katanya, Mohd Zulkifli juga dilihat berseorangan semasa ditangkap.
“Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan Mohd Zulkifli disabitkan dengan pertuduhan.
“Mahkamah tidak ada budi bicara melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, mengikut hukuman yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.
Mohd Zulkifli diwakili peguam JM Martin, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud.