Lelaki menangis bersalah pukul teman lelaki adik

KOTA BHARU – Pekarangan Mahkamah Tinggi di sini diselubungi hiba apabila seorang lelaki menangis selepas hukuman bersabit kesalahan mencederakan teman lelaki adiknya dikekalkan mahkamah itu, semalam.

Lebih memilukan apabila beberapa ahli keluarganya yang hadir turut dilihat mengesat air mata menangisi keputusan yang dibuat Hakim Azman Abdullah itu.

Azman mengekalkan penjara dua tahun dan denda RM1,500 atau enam bulan penjara terhadap Mohamad Suhaimi Mohd Zain, 22, kerana kesalahan mencederakan Wan Nazari Mohamed, 24, menggunakan kayu sehingga mangsa patah sebelah tangan.

Kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai kopi di Chabang Tiga Bator, Jelawat, Bachok pada jam 9 malam, 22 Mei 2005.

Difahamkan kejadian berpunca selepas tertuduh dikatakan tidak merestui perhubungan adiknya itu serta tidak berpuas hati dengan mangsa yang menghantar adiknya pulang lewat malam dua hari sebelum pergaduhan tersebut.

Azman dalam keputusannya berkata, tidak ada kesilapan pada keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Ogos 2010 sebelum ini.

“Hukuman tersebut munasabah, maka saya kekalkan sabitan dan hukuman ini terhadap kamu,” katanya.

Sejurus keputusan terhadap rayuan tertuduh itu dibuat, tertuduh dilihat menangis ketika tangannya digari.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Aznika Anas dan peguam bela, Datuk Syukri Mohamed.