
NAMPAKNYA mulut kecoh mereka ini memberi tuah. Selain popular sebagai pelawak dan pelakon, kini Nabil dan Kenchana Dewi akan menggamatkan pula stesen radio Suria FM.
Bergandingan bersama pengacara popular Halim Othman, Nabil dan Kenchana Dewi akan menggegarkan pagi pendengar setia menerusi segmen Ceria Pagi di Suria.
Kemunculan Nabil dan Kenchana Dewi bakal mengisi keceriaan dalam memastikan saluran radio tersebut sentiasa mendapat tempat di hati peminat.
Malah Nabil sendiri mengakui ingin mencuba sesuatu perkara baru di samping menimba pengalaman dalam dunia penyiaran radio.
"Apabila pihak Suria menawarkan peluang menjadi pengacara radio untuk segmen Ceria Pagi di Suria kelolaan Halim dan digandingkan pula bersama Kenchana, saya rasa ini merupakan salah satu pengalaman baru bagi saya.
"Lebih-lebih lagi saya dan Kenchana sudah serasi kerana sebelum ini pun kami pernah digandingkan bersama.
"Jadi saya rasa tidak ada masalah jika saya digandingkan bersama-sama dengan dia. Memang kami akan gegarkan pagi pendengar setia Suria FM," jelas Nabil ketika ditemui pada sidang akhbar Suria FM di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara bagi Kenchana Dewi pula, dia sememangnya sentiasa terbuka dengan setiap peluang baru yang ditawarkan kepadanya.
"Sebelum ini saya sudah mencuba pelbagai perkara termasuklah lakonan dan juga pengacaraan, jadi dunia penyampai radio merupakan sesuatu yang baru kepada saya.
"Malah, kehadiran saya di dalam Ceria Pagi di Suria juga sebenarnya menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia itu sendiri," katanya bersungguh-sungguh.
Ikut trend
Jika dilihat langkah terbaru Suria FM mengambil pelawak sebagai mengikut trend semasa stesen radio lain, Timbalan Ketua Pegawai Operasinya, Yusri Abu Samah berkata, perkara tersebut sebenarnya adalah berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh pihak mereka.
"Menurut kaji selidik yang kami lakukan, tidak dinafikan pendengar sememangnya sukakan komedi.
"Dalam masa yang sama juga, komedi boleh diibaratkan satu permulaan yang baik di awal pagi dan ia pasti akan membuatkan penonton lebih ceria dan terasa segar," jelasnya.
Selain itu, Yusri menambah, pembaharuan yang dilakukan oleh Suria FM sebenarnya merupakan salah satu langkah dalam mengharungi cabaran pada tahun 2012 ini.
"Bagi kami, ini merupakan masa yang sesuai untuk berubah malah kita juga harus sentiasa berfikiran maju ke hadapan bagi menyaingi stesen radio lain.
"Jadi, kami harus bersedia dengan segala cabaran pada tahun di samping dapat menghiburkan pendengar setia Suria FM," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: