
MELIHAT kepada sambutan luar biasa yang diterima drama muzikal terkenal Glee, sebuah drama muzikal tempatan yang bertajuk Kampus bakal membawakan konsep yang sama.
Diarahkan oleh Yusmal Ghazali, drama muzikal tersebut menampilkan 68 buah lagu untuk 26 episod dan akan disiarkan menerusi saluran iTV (Astro 180).
Yusmal berkata, biarpun dia tahu ramai akan membandingkan hasil kerjanya dengan drama Glee namun dia berharap agar drama arahannya itu diberi peluang untuk mendapat tempat di hati penonton negara ini.
"Kami sangat bangga dengan hasil kerja kami walaupun di sebalik pelbagai kekurangan.
"Saya percaya ramai yang akan membandingkan Kampus dengan Glee, namun ingin saya tekankan disini konsepnya mungkin sama tetapi Kampus lebih sesuai dengan cita rasa penonton di negara ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama muzikal tersebut di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Yusmal, dia mendapat idea untuk menerbitkan drama tersebut selepas menonton siri Glee di televisyen dua tahun lalu. Bagaimanapun ideanya itu disesuaikan dengan suasana institusi pengajian tinggi di negara ini.
"Idea itu datang ketika saya dan isteri sedang menonton Glee. Dan dengan sokongan isteri, saya langsung meneruskan impian ini dengan menghantar skrip ke pihak RTM.
"Ternyata idea saya diterima baik oleh RTM dan mahu saya menyiapkan 26 episod drama muzikal ini," katanya yang memilih untuk mengadakan penggambaran drama tersebut sepenuhnya di Aswara.
Berlakon dan menyanyi
Ditanya sama ada pelakon Kampus memberikan kualiti suara sebaik pelakon Glee, Yusmal mengakui bahawa kebanyakan pelakon mempunyai kesukaran untuk menyampaikan lagu-lagu di dalam Kampus dengan baik.
"Kekurangan masa latihan serta keletihan sedikit sebanyak mengganggu penyampaian lagu oleh pelakon saya.
"Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan hasil drama ini selepas dua bulan menjalani penggambaran," katanya.
Yusmal memberitahu, antara cabaran terbesar yang ditempuhinya untuk mengarahkan drama tersebut adalah untuk mencari pelakon yang mampu menyanyi dengan baik.
Menurutnya, dia pernah membariskan beberapa pelakon popular sebelum ini namun terpaksa menggugurkan mereka kerana tidak mempunyai suara yang baik.
"Ternyata kekuatan drama ini adalah untuk mempunyai pelakon yang mampu menyanyi dengan baik.
"Dan untuk itu kami banyak membariskan penyanyi untuk drama Kampus ini seperti Diddy Hirdy dan Atie Abu Bakar sementara itu Faralyna Idris pula lebih kepada tarian," katanya.
Selain itu juga kata Yusmal, dalam memilih lagu yang sesuai, dia banyak melakukan kajian agar lagu yang disampaikan dalam drama tersebut mampu menceritakan situasi untuk setiap babak di dalam Kampus.
"Bukan mudah sebenarnya untuk menyiapkan sebuah drama muzikal seperti ini kerana kita akan memastikan lagu - lagu yang dipilih sesuai dengan situasi drama tersebut.
"Kami memilih 68 buah lagu kesemuanya termasuklah beberapa lagu lama yang kami fikir mempunyai kekuatan yang tersendiri," jelasnya.
Antara lagu yang menjadi pilihan untuk menjayakan drama muzikal Kampus adalah lagu popular Anita Sarawak iaitu, Seksis, Bebas (Kool) dan Gemilang (Jaclyn Victor).
Kampus bakal menampilkan Diddy Hirdy, Faralyna Idris, Aishah Hoo, Shark Radzuan, Najua P. Ramlee sebagai pelajar dan Atie Abu Bakar serta Azhar Sulaiman sebagai tenaga pengajar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: