Thursday, January 5, 2012

Momen manis Chef Zam Zam

CHEF ZAM ZAM berkemahiran lebih 20 tahun menyajikan pelbagai sajian Melayu.


TIADA apa yang lebih membanggakan seorang tukang masak, apabila seorang kenamaan yang menikmati sajiannya bukan sahaja memuji bahkan, meminta sajian yang dihidangkan itu dibungkuskan bagi dibawa pulang.

Momen itulah yang sehingga kini dikenang oleh Chef Eksekutif PNB Ilham Resort, Chef Zam Zam Mohamad Yasih, 44, sebagai antara detik manis yang sukar dilupakan dalam kerjayanya.

"Peristiwa ini berlaku beberapa tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu masih lagi sebagai timbalan perdana menteri menikmati makan malam di sebuah hotel tempat saya bekerja.

"Tidak sangka, selepas selesai makan, beliau panggil saya untuk bertemu. Datuk Seri memuji keenakan rendang ayam jeruk maman dan meminta kalau boleh untuk dibungkus untuk dibawa pulang," kongsi Chef Zam Zam yang sudah 20 tahun bertugas dalam bidang masakan.

Dalam pengalaman yang panjang itu, Chef Zam Zam bukan sahaja pernah bertugas di hotel di dalam negara bahkan, di dapur luar negara seperti di Wellington, New Zealand selama dua tahun selain mengikut Tourism Malaysia untuk promosi masakan sehingga ke Jepun.

Atas pengalaman itulah, tidak hairanlah saat program memasak MasterChef Malaysia musim pertama membuka tirai baru-baru ini, dia antara chef yang terpilih untuk terlibat dalam program popular tersebut.

Dijemput untuk Cabaran Chef Selebriti pada episod ke-30, ayah kepada dua orang cahaya mata itu bersaing dengan peguam muda comel, Amita.

Walaupun dengan pengalaman yang luas bahkan, dengan sajian yang dicadangkan sendiri oleh Chef Zam Zam, itu bukan bermakna dia selesa dan berdabik dada.

"Mana mungkin saya tidak gementar dan berdebar. Dalam cabaran ini, ada ditetapkan had masa dan masa saya kurang 15 minit berbanding Amita. Apatah lagi apabila diadili, juri sebenarnya tidak tahu pinggan yang dirasa itu milik siapa. Ini bermakna ia diadili sepenuhnya berdasarkan rasa sajian tersebut," ujar Chef Zam Zam yang mencabar Amita dengan sajian ayam panggang Tanjung Biru pada episod itu.

Sememangnya pakar dalam penyediaan makanan Melayu, bagi yang ingin menikmati pelbagai sajian Melayu lazat air tangan Chef Zam Zam dan pelbagai promosi sajian lain jangan lupa singgah di PNB Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tidak ketinggalan, bagi peminat rancangan MasterChef saksikan rancangan itu yang memasuki minggu final minggu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: