Aleeza Kassim
SEBAIK saja rumah tangga yang dibina sejak lima tahun lalu berkecai di pertengahan jalan, supermodel dan pelakon terkenal, Aleeza Kassim mengambil keputusan meninggalkan tanah air dengan membawa sekeping hati yang lara.
Kini, selepas setahun memori duka itu tercipta, Aleeza mula berani untuk berdepan dengan kenyataan dan berkongsi kisah perceraiannya bersama bekas suaminya, Mohd Fauzi Che Ros. Kepada Hip, Aleeza meluahkan segala apa yang terpendam di dalam hatinya.
Hip: Selepas bercerai Aleeza hilang tanpa dapat dikesan. Ke mana menyembunyikan diri?
Aleeza: Sebaik saja bercerai talak satu, Februari tahun lalu, saya nekad meninggalkan Malaysia dan membawa diri ke Eropah. Saya perlukan ketenangan kerana perceraian ini sangat melukakan. Saya sedar ramai yang mencari saya untuk mendapatkan kenyataan berhubung perceraian itu. Terus terang, saya masih belum dapat menerima hakikat atas apa yang berlaku. Gelaran janda itu amat berat untuk saya. Lagipun saya tak mahu kisah perceraian itu disensasikan, tambahan pula saya sendiri tidak mempunyai jawapan atas setiap pertanyaan yang bakal diajukan wartawan pada waktu itu. Justeru jalan mudah untuk saya melarikan diri daripada segala situasi ini ialah dengan pergi ke luar negara. Sepanjang tempoh itu saya kerap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota London. Saya terpaksa berbuat begitu kerana saya mahu melupakan segala yang berlaku. Jika saya terus berada di Malaysia, pastinya saya akan terus diganggu kenangan sewaktu masih berumah tangga. Itulah yang cuba saya elakkan buat masa itu.
Hip: Tanpa angin atau ribut, tiba-tiba Aleeza dan Fauzi mengumumkan perceraian. Apakah puncanya?
Aleeza: Jujurnya, perceraian ini berlaku tanpa kerelaan daripada kedua-dua belah pihak. Namun ada perkara yang membuatkan kami terpaksa berpisah. Tetapi ia bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga. Fauzi menceraikan saya bukan atas kehendaknya, namun semua itu terpaksa dilakukan disebabkan saya tidak tahan dengan tekanan yang ada di sekeliling kami. Pelbagai perkara berlaku sejak kami berkahwin. Mungkin bagi dia, perkara itu remeh. Tapi sebagai orang yang perlu menghadapi semua dugaan itu, saya tidak sanggup untuk mengharunginya. Lagipun waktu itu saya tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi segala tekanan itu. Saya lebih banyak mengurungkan diri dalam bilik sehingga keluarga saya risau dengan keadaan saya. Meskipun kami cuba menyelamatkan perkahwinan itu namun apakan daya, sudah tertulis bahawa jodoh kami hanya setakat itu saja. Saya pasrah dengan ketentuan Ilahi.
Hip: Tidak berhasrat untuk rujuk kembali memandangkan perceraian itu berlaku kerana terpaksa?
Aleeza: Semua itu saya serahkan pada jodoh. Jika ditakdirkan saya kembali kepadanya, saya reda kerana dia seorang suami yang baik. Dia sering membawa saya ke arah kebaikan dan juga seorang lelaki yang sangat sporting. Terus terang, memang sukar untuk mencari lelaki sepertinya pada waktu ini. Antara kami masih lagi ada perasaan sayang. Cuma apabila mengenangkan kembali apa yang sudah terjadi, saya jadi sedih. Saya tahu dia masih mengharapkan saya untuk kembali ke pangkuannya dan dia juga ada mencari saya. Namun saya enggan memberikan alamat saya di sana kerana tak mahu bertemu dengannya.
Hip: Apakah Aleeza sengaja bertindak sebegitu sebagai satu hukuman buatnya?
Aleeza: Saya mahu dia belajar sesuatu daripada apa yang berlaku. Sejak awal lagi saya sudah berpesan kepadanya supaya lebih bersikap tegas dalam menghadapi sesuatu keadaan. Namun disebabkan kedegilannya kerana sering menganggap semua yang berlaku itu sebagai satu perkara remeh, akhirnya berlakulah perceraian ini. Sebagai orang yang terpaksa melalui semua keadaan yang sukar itu, saya harap jika masih ada jodoh kami selepas ini, dia akan lebih peka dan sedar akan kesilapannya sebelum ini. Saya tidaklah meletakkan kesalahan itu di atas bahunya seorang saja. Saya juga ada kelemahan dan jika kami rujuk kembali atau pun saya berkahwin dengan orang lain, saya mahu lebih kuat dan bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada masa depan.
Hip: Sudah bertemu pengganti sewaktu di luar negara?
Aleeza: Tak dinafikan memang ada lelaki yang cuba untuk mengenali diri saya. Tapi saya lebih senang berkawan saja. Saya lebih selesa hidup bersendiri. Cuma saya tak nafikan, ada ketika saya rasa sunyi tanpa ditemani seorang lelaki bernama suami. Perasaan itulah yang membuatkan hati saya berdetik untuk kembali berumah tangga. Dengan siapa? Biarlah Tuhan yang menentukannya.
Hip: Jadi, apa perancangan Aleeza selepas kembali ke tanah air?
Aleeza: Cukuplah tempoh setahun saya membawa diri. Sepanjang tempoh itu banyak pengalaman yang saya kutip dan mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih kuat dan tabah dalam menghadapi apa juga keadaan. Jika dulu saya sanggup tinggalkan karier kerana kecewa dengan apa yang berlaku, kini saya mahu bergiat kembali dalam bidang seni. Sejak kembali, tawaran membuat peragaan semakin mencurah-curah. Saya juga banyak menghabiskan masa membuat kerja amal terutama yang membabitkan warga emas. Saya mahu menjadi Aleeza Kassim yang baru. Tutup buku lama dan buka buku baru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: