|
|
AWAL minggu ini, seorang pesakit strok warga Britain, Tony Nicklinson, 57, meraih simpati dunia apabila dia merayu kepada Mahkamah Tinggi di negaranya supaya diberikan hak untuk mati dengan kaedah eutanasia.
Melalui kaedah tersebut, dia akan diberi suntikan oleh doktor untuk mengakhiri nyawanya.
Nicklinson berpendapat itulah sahaja jalan keluar yang dapat membebaskannya daripada kesengsaraan strok jenis locked-in, satu keadaan di mana seluruh tubuh lumpuh kecuali fikiran sejak tujuh tahun lalu.
Dalam permohonan tersebut, Nicklinson juga merayu supaya doktor yang menjalankan euthanasia ke atasnya tidak dituduh atas dakwaan membunuh memandangkan prosedur tersebut tidak dibenarkan di Britain.
Menderita
Bagaimanapun, dia diberitahu hanya Parlimen boleh meluluskan permohonan tersebut.
Dia yang kini tidak mampu bergerak dan memerlukan penjagaan rapi hanya boleh berkomunikasi dengan menggunakan kerdipan mata yang akan diterjemahkan menggunakan komputer khas.
Enggan mengalah, Nicklinson menegaskan sebagai manusia dia mempunyai hak autonomi untuk menentukan kaedah kematiannya.
Bapa kepada dua anak perempuan yang diserang strok ketika dalam lawatan kerja ke Athen, Greece pada tahun 2005 ini mengakui dia sudah bosan hidup terpenjara dalam tubuhnya sendiri.
Dia yang dimasukkan ke hospital diberi rawatan selama tiga bulan. Walaupun berjaya diselamatkan, Nicklinson lumpuh sepenuhnya.
"Hidup saya kini membosankan, sengsara, tidak bermartabat, lembab dan membebankan," katanya.
Sungguhpun lumpuh seluruh badan, dia masih boleh melihat, mendengar dan berfikir secara normal, sama seperti sebelum ditimpa strok.
Dia juga boleh menggerakkan kepalanya dan mengambil makanan cecair.
"Saya mahu mati di sini, di sisi isteri dan anak-anak. Saya tidak mahu pergi ke Switzerland, negara yang membenarkan eutanasia semata-mata untuk mati di sana. Saya juga tidak berupaya untuk mengambil sendiri ubat yang boleh menamatkan hayat saya.
"Saya sudah puas menderita. Oleh itu, saya merayu biarkanlah saya mati dan ia tidak perlu dipertikaikan. Mengapa kehidupan ini begitu zalim?" rintih Nicklinson.
Isterinya, Jane yang juga seorang jururawat terlatih sudah puas menasihati suaminya tentang keputusan tersebut namun dia tetap berkeras.
"Dia adalah lelaki yang cukup sempurna semasa zaman sihatnya. Dia tampan, tegap dan tinggi. Dia juga sentiasa bersemangat tidak kira ketika menghabiskan masa dengan keluarga, kerja dan hobinya di padang ragbi.
Mengagumkan
"Kini, dia sering tertekan. Dia tidak lagi mengambil ubat yang disarankan oleh doktor sejak tahun 2007 termasuk ubat untuk jantung dan mencairkan darah.
"Tetapi dia ambil ubat yang dapat memberi keselesaan kepadanya seperti ubat yang boleh mengurangkan kekejangan otot," kata Jane yang pernah menetap di Malaysia dan Hong Kong bersama suaminya itu.
Mengimbau kenangan sebelum Nicklinson terlantar sakit, bekas eksekutif kanan kejuruteraan di sebuah syarikat pembinaan di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini aktif bermain ragbi.
"Dia pernah mempengerusikan Kelab Sukan Sharjah Wanderes di antara tahun 2001 hingga 2006. Dia seorang yang mudah mesra dan sangat menggemari sukan ragbi," kata Pengerusi Kesatuan Ragbi Teluk Arab, Andrew Cole.
Sementara itu, bekas pengerusi kelab itu, David Skidmore berkata, dia menyimpan banyak kenangan manis di atas padang bersama Nicklinson.
"Dia adalah seorang fanatik ragbi yang berusaha keras untuk membangunkan sukan itu di sini.
"Nicklinson bertanggungjawab membuka jalan kepada Kejuaraan Dunia bawah 19 tahun di Sharjah," kata Skidmore yang sebak apabila mengetahui rakannya yang suka tersenyum itu ingin menamatkan hidup dengan memilih cara eutanasia.
Hari ini, Nicklinson menghabiskan masanya di bilik banglo miliknya di Wiltshire, England dengan menghantar e-mel, melayari internet dan menulis memoir.
"Melihat keupayaannya mengingati sesuatu, ia adalah perkara yang cukup mengagumkan. Mindanya langsung tidak terjejas kerana strok," ujar Jane.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: