Makkah Resipi tawar menu Arab

Pengalaman mengelolakan maka­nan menu Arab kepada jemaah haji ketika di Makkah telah mendorong seorang usahawan tempatan, Abdul Rahman Mohd Noor untuk mengeluarkan sos resipi buatan sendiri bagi pasaran tempatan.

Berkongsi pengalaman itu bersama seorang rakan Naim Al-Tifri, Abdul Rahman, 39, yakin pengeluaran sos yang menggunakan jenama Makkah Resipi itu mampu mengukuhkan pasaran di negara ini.

Menurutnya, cubaan menjalankan perniagaan sos cili itu dilakukan secara sampingan pada 2010 dan menjadi semakin aktif pada Ogos tahun lalu, malah ia berjaya dipasarkan kepada beberapa rangkaian kedai ayam organik Az-Zain.

“Pada peringkat permulaan kami memulakan operasi pengeluaran dengan modal permulaan RM8,000 dan menghasilkan 5,000 botol sahaja, kini jumlah itu bertambah kerana mempunyai permintaan semasa dengan jumlah perolehan pendapatan mencecah RM2,000 sebulan.

“Sos ini boleh dimakan begitu sahaja dan boleh juga digunakan sebagai penambah perisa kerana tidak dicampurkan dengan bahan pengawet,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rahman berkata, selain produk sos, syarikatnya berhasrat melebarkan sayap perniagaan dengan melahirkan produk makanan berasas menu Arab seperti Samosa Arab, Mantu dan Nasi Beriyani Arab.

“Selepas penambahan produk dilaksanakan, kami menyasarkan peningkatan pendapatan kepada RM50,000 dalam masa dua tahun dan bercadang melantik pengedaran atau rangkaian dengan mewujudkan seorang wakil di setiap negeri.

“Manakala, pasaran pengedaran produk bakal memasuki pasaran Makkah menjelang 10 tahun dari sekarang, “katanya.