Friday, January 20, 2012

Mahu saman syarikat produksi



APABILA memperkatakan tentang band rock Projek Pistol, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah lagu hit mereka berjudul Wanita Seluruh Dunia yang dilihat telah mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar.

Tidak dinafikan, lagu berkenaan dilihat telah melonjakkan lagi nama band yang dianggotai Abdullah Umar (Boy), Edrie Hashim (Edrie), Mohamad Nasfa Mohamed Nasir (Pa'e) dan Kamarul Izham Ahmad Badri (Zham).

Lebih menarik lagi, Projek Pistol juga akan menjadi satu-satunya band rock yang bakal beraksi di pentas final Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26) di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 29 Januari ini nanti.

Melihatkan kepada kejayaan tersebut, Boy selaku vokalis dan komposer yang menghasilkan lagu Wanita Seluruh Dunia meluahkan rasa terkejut dan tidak menyangka sama sekali lagu ciptaannya itu akan digemari oleh pendengar.

"Sebagai seorang pencipta pastinya saya berasa gembira dan berbangga apabila lagu yang dihasilkan mendapat sambutan ramai. Begitu juga dengan maklum balas yang diterima apabila peminat menyukainya terutama melodi dan liriknya yang cukup ringkas.

"Mungkin ramai yang tidak percaya saya hanya mengambil sehari sahaja untuk menghasilkannya. Apabila saya perdengarkan kepada Edrie, ternyata dia telah berminat dan selepas itu kami terus merakamkannya," jelasnya ketika ditemui pada konsert jelajah AJL 26 di Johor Bahru baru-baru ini.

Bagaimanapun, Boy menegaskan kejayaan Projek Pistol yang semakin melonjak dan terus bertahan sepanjang lima tahun ditubuhkan bukanlah disebabkan lagu hasil ciptaannya itu semata-mata.

Menurutnya, dia menganggap kemampuan bandnya itu untuk meletakkan mereka berdiri sebaris dengan band rock yang lebih senior adalah menerusi pengalaman yang dimiliki setiap anggotanya yang sudah lama terbabit dalam industri muzik tempatan.

"Bagi saya, ini adalah kejayaan bersama kerana tanpa pengalaman yang luas tentu bukan mudah untuk kami bersaing dalam bidang ini. Apa pun, saya tetap menganggap Edrie adalah tunjang yang membawa nama Projek Pistol semakin melonjak," ujarnya.

Sementara itu, Edrie selaku ketua kumpulan ketika ditemui berkata, di sebalik kejayaan yang mereka kecapi sekarang, ternyata dia tidak dapat menyembunyikan rasa kekecewaannya tentang suatu permasalahan yang dilihat boleh merosakkan industri muzik tempatan.

Jelas Edrie, semuanya adalah berpunca daripada lagu Wanita Seluruh Dunia yang telah digunakan oleh segelintir syarikat produksi filem dan drama untuk menjadi lagu tema penerbitan mereka tanpa kebenaran.

"Saya merasakan tindakan tersebut langsung tidak menghormati hasil karya orang lain. Sebenarnya kami tidak kisah lagu itu digunakan, tetapi terlebih dahulu haruslah melalui perbincangan dan perlu adanya persetujuan kedua-dua belah pihak.

"Sudah tentu apa yang dilakukan oleh mereka ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan kami. Ia tidak seharusnya berlaku dan kami tidak akan berlembut dengan pihak-pihak sebegini," luahnya yang kecewa terhadap apa yang berlaku.

Tambahnya, setakat ini pihaknya sudah pun mengetahui bahawa ada sebuah syarikat produksi drama dan filem yang telah menggunakan lagu berkenaan tanpa kebenaran tanpa mahu mendedahkannya.

Ditanya sama ada Projek Pistol akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat produksi berkenaan, Edrie memberitahu ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat memandangkan ia adalah satu perkara yang cukup serius.


PROJEK PISTOL tidak akan kalah dengan pelbagai kontroversi yang melanda mereka.


"Sebenarnya tindakan kami untuk menyaman bukanlah sekadar mengejar wang ringgit semata-mata. Apa yang kami mahu agar ia boleh dijadikan pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan hak orang lain tanpa kebenaran," tegasnya yang tidak mahu berlembut tentang perkara berkenaan.

Alasan bodoh

Selain isu penggunaan lagu tanpa kebenaran, Projek Pistol juga turut berhadapan dengan satu lagi kontroversi apabila tidak jadi membuat persembahan pembukaan ketika Konsert Kemuncak Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung di Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu.

Antara alasan yang diberikan adalah tindakan Boy yang tidak mahu melemparkan senyuman kepada wakil pihak penganjur pada konsert sebelumnya di Pulau Pinang, lalu menyebabkan penyertaan mereka pada konsert tersebut dibatalkan saat akhir.

Mengulas mengenai kontroversi berkenaan, Boy menjelaskan dia bukanlah seorang individu yang berperwatakan sombong dan akui sangat terkejut apabila tindakan 'tidak senyum' telah dijadikan sebagai alasan.

"Kalau diminta mengulas mengenai perkara ini, saya anggap ia adalah sebagai satu alasan bodoh dan tidak masuk akal. Kami akui tidak mengenali kesemua wakil penganjur, jadi takkanlah saya hendak senyum dengan semua orang yang berselisih dengan saya.

"Pastinya isu sebegini boleh mencalarkan imej Projek Pistol dan saya tidak akan berdiam diri dan akan melakukan tindakan yang sewajarnya. Lagipun tindakan mereka itu langsung tidak profesional serta menjatuhkan kredibiliti kami," ujarnya.

Bagaimanapun, Boy tidak menolak kemungkinan segala yang berlaku ke atas kumpulan mereka itu ada unsur-unsur sabotaj oleh pihak yang tidak mahu mereka tampil membuat persembahan pada hari tersebut.

"Secara terus terang kami memang sangat hairan dan tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku. Lagipun untuk konsert berkenaan Projek Pistol hanyalah sekadar band undangan, tetapi tidak sangka kami akan berhadapan dengan situasi sebegini," ujarnya.

Wakil Malaysia ke Hong Kong

Di sebalik kontroversi yang melanda, ternyata kredibiliti Projek Pistol sebagai sebuah band rock yang semakin menunjukkan taring turut menarik perhatian daripada Persatuan Rakaman Industri Muzik Malaysia (RIM).


PROJEK PISTOL terbabit dengan kontroversi dengan pihak penganjur menyebabkan mereka digugurkan daripada membuat persembahan pembukaan Konsert Kemuncak Fenomena 30 Tahun Search di Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu.


Baru-baru ini, band berkenaan telah mendapat undangan daripada pihak RIM bagi mewakili Malaysia untuk menyertai Asian Pop Festival yang akan berlangsung di Hong Kong pada bulan Mac ini.

Menurut Boy, undangan yang diterima itu dilihat sebagai satu penghormatan yang cukup besar buat mereka sebagai sebuah band yang sedang mencipta nama dalam industri muzik tempatan.

"Ketika mula-mula mendapat berita ini, sudah tentu kami terkejut kerana terpilih di kalangan ramai penyanyi tanah air yang lebih hebat. Ternyata, usaha keras selama ini tidak sia-sia apabila ada pihak yang menghargai dan yakin dengan kemampuan kami.

"Jadi, peluang yang telah diberikan ini akan digunakan untuk membuat persembahan terbaik kerana kami membawa nama Malaysia pada ada acara ini. Walaupun ia adalah sebuah pertandingan, tetapi kami tidak terlalu harap untuk menang kerana apa yang lebih penting adalah pengalaman," ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan Projek Pistol untuk berhadapan dengan saingan penyanyi Asia yang lain, jelas Boy buat masa ini sebarang persediaan masih belum lagi dilakukan kerana mahu memberi tumpuan kepada AJL 26 terlebih dahulu.

"Pada bulan hadapan barulah kami akan membuat persediaan untuk pertandingan di Hong Kong. Memandangkan ia sebuah pertandingan peringkat antarabangsa, kami merancang untuk menghasilkan sebuah lagu Inggeris yang akan dipersembahkan pada pertandingan itu nanti," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: