BUAT julung-julung kalinya, setelah 44 tahun, irama Pop Yeh Yeh akan kembali menghiburkan hati penonton setianya apabila Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh akan dijayakan di Istana Budaya pada pukul 8.30 malam dari 20 hingga 22 Januari ini.
Jika kegemilangan konsert Pop Yeh Yeh ketika tahun 1967 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur masih lagi diingati sehingga kini, memori itu sekali lagi akan dipersembahkan di hadapan peminat Pop Yeh Yeh apabila nama-nama besar irama itu seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramlie, J. Sham, A. Halim dan ramai lagi akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka bersama dengan kumpulan kugiran masing-masing.
Begitupun, semangat berkobar-kobar pihak penganjur untuk menjayakan konsert pop yeh yeh dikhabarkan dengan berita sedih apabila jualan tiket konsert tersebut dikatakan tidak begitu mendapat sambutan. Puncanya, peminat mendakwa harga tiket terlalu mahal sehingga mencecah RM350. Sehingga ke hari ini, penjualan tiket konsert Pop Yeh Yeh itu baharu sahaja terjual beberapa peratus. Akibat daripada itu, pihak penganjur terpaksa menambah empat lagi penyanyi untuk memeriahkan lagi konsert yang bernilai RM40 hingga RM350 itu.
Kosmo! berpeluang bertemu dengan Pengarah Urusan Gombak Serumpun Sdn. Bhd. yang juga merangkap penganjur konsert Pop Yeh Yeh, Ghazali Ismail, ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan empat lagi artis yang akan terlibat pada konsert Pop Yeh Yeh di Istana Budaya seterusnya merungkai isu yang berlaku:-
Kosmo!: Berapa ramai artis Pop Yeh Yeh yang akan terlibat pada konsert itu nanti?
Artis-Artis yang akan terlibat terdiri daripada nama-nama besar seperti Datuk Jeffrydin bersama kumpulannya Siiglap 5, Datuk L. Ramlie (Orkes Teruna Ria), Datuk A. Rahman Hassan dan isteri Datin Azizah Muberak (D’Fiction), J.Sham (The Wanderers), A. Rahman Onn bersama kumpulan (The Strangers), Zamzam bersama kumpulan The Twilities, Fatimah M. Amin, Roziah Latiff dan (A. Rozainie) bersama kumpulan Rhythm 60s.
Kenapa tiba-tiba ketika konsert sudah hampir dikemuncak tarikh diumumkan empat lagi artis akan turut serta? Adakah disebabkan harga tiket yang mahal sehingga RM350 atau penambahan artis itu sekadar memeriahkan konsert pada malam itu?
Kami menambah empat artis Pop Yeh Yeh iaitu Zamzam, Fatimah M. Amin, Roziah Latiff dan A. Rozainie disebabkan untuk memeriahkan lagi konsert pada malam 20 hingga 22 Januari ini.
Berapakah nilai tiket yang ditawarkan untuk konsert Pop Yeh ini dan ada yang mendakwa tiket terlalu mahal sehingga mencecah RM350. Kenapa?
Tiket-tiket Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh dijual pada harga RM40, RM80, RM120, RM160, RM200, RM240 dan RM350. Tiket-tiket boleh diperoleh melalui Ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600. Tiket konsert ini dijual mengikut kadar harga yang telah ditetapkan oleh Istana Budaya (IB). Jika ikutkan kadar sebenar IB ialah harga terendah adalah sebanyak RM60 tetapi atas budi bicara Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani konsert ini tidak terlalu mengikut kadar harga sebenar pentas berprestij itu.
Khabarnya penjualan tiket agak kurang memberangsangkan sedangkan konsert itu akan berlangsung pada 20 Januari ini?
Setakat ini, sebanyak 50 peratus tiket Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh sudah habis dijual. Sebelum ini, kami cuma menampilkan penyanyi sahaja tetapi kali ini mereka akan menyanyi bersama kumpulan masing-masing. Mereka bukan lagi menjadi tempelan atau ‘pasu bunga’ sebaliknya menjadi artis utama untuk disaksikan.
Boleh ceritakan mengenai sidang akhbar yang berlangsung pada hari ini? Adakah ia semata-mata dibuat untuk memperkenalkan artis tambahan pada konsert itu nanti?
Selain memperkenalkan empat artis lagi untuk menjayakan konsert pada malam itu, pihak Gombak Serumpun Sdn. Bhd. turut menandatangani memorandum dengan Kumpulan Utusan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad sebagai media rasmi untuk konsert tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: