Wednesday, January 11, 2012

Lisu seri langsir


IMEJ kartun seperti watak Upin dan Ipin turut boleh direka di atas dinding menggunakan kertas dinding kapas.


LANGSIR merupakan perkara asas dalam sesebuah rumah bagi menghadang cahaya dan angin serta mengindahkan lagi ruang dalaman.

Selalunya, pengguna hanya menitikberatkan bahan, warna serta corak langsir bagi menghiasi tingkap mahupun pintu rumah mereka.

Warna dinding, ukuran tingkap, pintu, jenis perabut serta konsep yang diterapkan dan bajet diambil kira bagi memudahkan pemilihan material fabrik dan corak langsir yang diingini.

Namun, jarang sekali pengguna memberi penekanan kepada jenis lisu langsir iaitu lipatan tirus di atas langsir yang membuatkan langsir itu beropol.

Jika dahulu, langsir-langsir sering dipasang dengan cangkuk bermata tiga atau empat membentuk lisu tiga bagi memberi kedutan di atas langsir dan ia kadang-kadang kelihatan kurang kemas.

Namun, sebenarnya pelbagai jenis lisu yang ada bagi memberi kelainan kepada kepala langsir serta mengikut kesesuaian langsir itu.

Menurut pemilik Dina Homes, Aida Abd. Hashim, pemilihan lisu sama penting dengan material serta corak langsir itu kerana ia merupakan kepala kepada langsir.

“Jenis lisu perlu dititikberatkan juga kerana ia yang membentuk langsir tersebut dan pelbagai lisu selain lisu tiga yang sering dilihat.

“Antara lisu-lisu yang lain ialah lisu rama-rama, lisu pensel, lisu goblet, lisu Singapura, lisu kolar dan lisu berlian, memberi kelainan kepada kepala langsir.

“Memudahkan lagi pengguna, lisu akan dijahit siap pada kepala langsir dan mereka hanya perlu menyarungkan cangkuk mata satu selepas membasuh, tidak perlu melipat-lipatnya untuk memasukkan cangkuk mata tiga seperti dulu-dulu.

“Konsep ringkas itu bersesuaian dengan dengan cara hidup orang sekarang yang sibuk dan mahukan semuanya mudah serta segera,” kata Aida yang menyediakan perkhidmatan rundingan dan membuat langsir, kertas dinding dan mereka perabot yang ditempah khas serta pelbagai barangan hiasan dalaman lain.

Tetapi, jika pengguna mahukan sesuatu yang paling mudah diuruskan dan senang dipadankan dengan sebarang tema hiasan dalaman terutamanya tema moden, Aida mencadangkan menggunakan lisu eyelet atau tab.

Lisu Eyelet ialah gaya langsir sorong gelung logam yang dijahit pada bahagian atas langsir dan lisu tab bahagian atas langsir dijahitkan pita secara bergelung yang berfungsi sebagai penyangkut pada palang langsir.

“Walaupun sedikit mahal berbanding pilihan lisu lain, ia lebih mudah dipasang dan kelihatan elegan,” kata pemilik Dina Homes yang terletak di Damai Niaga, Alam Damai, Cheras.

Kertas dinding mesra alam

Selain menyediakan perkhidmatan rundingan dan penyediaan langsir, di Dina Homes juga menyediakan perkhidmatan pelbagai jenis kertas dinding.

Menurut Aida, Jenis kertas dinding yang terbaru mereka memperkenalkan ialah kertas dinding kapas yang diperbuat daripada bahan-bahan mesra alam.

“Bagi yang mahukan kelainan pada rekaan dalaman mereka, kami mengesyorkan menggunakan kertas dinding kapas yang diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula iaitu, benang, kain dan kapas.

“Produk yang ditempah dari Taiwan itu berbeza kerana ia terpulang kepada kreativiti pelanggan dimana mereka boleh mereka-cipta sendiri corak yang diingini lalu menampalnya ke dinding.

“Ia mudah digunakan, hanya rendam di dalam air, kemudian tampalkannya di dinding mengikut lukisan yang dibuat terlebih dahulu.

“Coraknya terpulang kepada kekreatifan pelanggan sama ada corak flora, haiwan, kartun, malah potret mereka sekalipun untuk diabadikan di dinding mereka,” katanya.

Kata Aida, penggunaan kertas dinding kapas sesuai dipasang di dinding utama sesebuah bilik saja kerana coraknya yang menonjol dan berbeza.

Penampalan kertas dinding kapas itu dimulakan dengan mengambil mana-mana gambar yang ingin diabadikan di dinding bagi cetakan saiz besar sebelum ditekap di dinding untuk dilukis semula.

Siap lakaran kasar di dinding, pelanggan boleh menampal kertas dinding kapas yang direndam sebelum itu mengikut warna yang sesuai.

“Namun jangan risau, kami turut menyediakan perkhidmatan menampalnya jika pelanggan tidak yakin dengan kerja tangan sendiri,” katanya.

Tambah Aida, ia lebih tahan lama berbanding kertas dinding tradisional kerana lebih tahan lasak dan boleh ditampal kembali jika ia tertanggal kerana terlanggar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: