KEINDAHAN pantai Chenang di Pulau Langkawi sememangnya tidak perlu dipersoalkan. Destinasi pelancongan itu sudah termasyhur dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Selain pantainya yang memutih, kewujudan banyak tempat makan dan kemudahan penginapan di kawasan sekitar menjadikan ia sebagai lokasi percutian yang diimpikan.
Hotel Landcons di Jalan Persiaran Pantai Chenang, Pulau Langkawi merupakan salah satu tempat penginapan yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung. Berkonsepkan percutian keluarga, hotel Landcons yang beroperasi sejak enam tahun lalu menawarkan 65 bilik termasuk 16 buah berkonsepkan resort dengan harga berpatutan bermula RM100 hingga RM150 sebilik.
Pemiliknya, Mohd. Asri Yatin, 32, berkata, sejak mula beroperasi pada 2006, hotel Landcons sentiasa menerima pengunjung berkeluarga dan kumpulan rombongan yang ramai. Selain harganya yang berpatutan, hotel empat tingkat itu sering menjadi pilihan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pusat akuarium laut, Underwater World.
Selain itu, para pengunjung pasti teruja dengan kemudahan-kemudahan selesa yang ditawarkan di hotel itu seperti jalur lebar, penghawa dingin, televisyen skrin rata, tab mandi, mini bar dan sebagainya.
Malah, terdapat juga kemudahan bilik mesyuarat yang boleh menampung seramai 120 orang pada satu-satu masa, selain kolam renang untuk kanak-kanak dan dewasa, kedai serbaneka, restoran, perkhidmatan sewa kereta, motosikal dan sebagainya mengikut keperluan pengunjung.
Menurut Mohd. Asri, walaupun hotel itu tidak menyediakan kemudahan kafe kepada pengunjung, namun sekiranya menerima permintaan, pihak hotel akan menyediakannya mengikut cita rasa pengunjung.
"Kami menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung demi keselesaan mereka sepanjang menginap di hotel ini.
"Selain menawarkan perkhidmatan sewa kenderaan, kami juga bersedia memenuhi permintaan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti seperti mengelilingi pulau, meneroka alam semula jadi, melawat tempat-tempat menarik dan membeli-belah.
"Malah, ramai yang tidak tahu, kami juga menyediakan perkhidmatan pelancongan ke pekan di sempadan Malaysia-Thailand kepada pengunjung yang berhajat untuk ke negara itu.
"Sebagai penghargaan kepada pelanggan, mereka akan mendapat potongan harga istimewa untuk setiap aktiviti berkenaan terutama pada bukan musim cuti sekolah atau low season," katanya.
Bercerita lanjut, Mohd. Asri berkata, disebabkan permintaan bilik yang tinggi terutama ketika musim cuti sekolah, hotel miliknya kini sedang melalui proses penambahbaikan yang dijangka siap hujung Januari ini.
Menurutnya, antara yang dilakukan ialah menambah kira-kira 20 buah bilik, pembinaan sebuah pusat beli-belah, landskap yang menarik, dataran pejalan kaki yang selesa dan pembinaan sebuah kolam ikan berbentuk Pulau Langkawi.
Katanya, kolam ikan tersebut akan dibina mengikut bentuk pulau Langkawi seperti di dalam peta. Selain mencipta kelainan, tambahnya, kolam itu nanti diharap akan memberi ketenangan dan perasaan seperti berada di rumah sendiri kepada pengunjung.
"Dengan konsep percutian keluarga, diharap pengunjung yang menetap di sini akan berasa selesa seolah-olah berada di rumah sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: