Monday, January 16, 2012

Menyambut 2012 di puncak Yellow


PENULIS (kiri) bersama beberapa pendaki di puncak Gunung Pass.


Itu cerita biasa menyambut kedatangan tahun baru di bandar. Tidak ada bezanya dengan tahun-tahun sebelumnya.

Mahukan satu kelainan, Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Yellow (1667 meter/5,469 kaki) dan Gunung Pass (1587 meter/5,206 kaki) dari paras laut bagi meraikan sambutan tahun baru 2012. Terletak berdekatan Kampung Raja, Cameron Hinglands, Pahang, ia lebih dikenali sebagai Yellow-Pass.

Sebanyak 27 peserta termasuk penunjuk arah, Mazrizal Mohd Tajuddin, 26, dan krew bertugas mengikuti program yang bermula pada malam 30 Disember 2011 dan berakhir pada petang 1 Januari 2012.

Menurut ketua program ini, Mohamad Zahid Hashim, 25, ekspedisi mendaki Gunung Yellow-Pass ini diadakan bagi menggantikan program mendaki Gunung Tebu di Terengganu.

"Pendakian Gunung Tebu tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu. Jadi, kami memilih Gunung Yellow-Pass, khas untuk menyambut tahun baru 2012.

"Pemilihan ini dibuat kerana keadaan trek, tapak perkhemahan dan beberapa perkara lain yang dirasakan sesuai untuk semua peserta," katanya kepada S3.

Mahukan sesuatu yang berbeza dalam sambutan tahun baru, saya tidak melepaskan peluang mengikuti program ini. Seperti yang dimaklumkan melalui laman sosial Facebook OGKL, kami berkumpul di Heritage Cafe, Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada pukul 9.00 malam. Dengan enam kereta persendirian, kami berkonvoi menuju ke Kampung Raja. Kami memilih laluan Simpang Pulai-Gua Musang untuk sampai ke destinasi kerana jaraknya lebih dekat berbanding mengikut laluan Tapah.

Di Masjid Kampung Raja, kami menunaikan solat Subuh dan sarapan. Setiap peserta dibekalkan nasi himpit dan serunding daging untuk makan tengah hari di pertengahan jalan.

Melihat langit mendung, hati mula berdetik menyatakan pendakian kali ini pasti akan diiringi hujan lebat. Dari masjid ini, kami menaiki lori sayur menuju ke tempat mula mendaki yang terletak dekat papan tanda bertulis 'Sempadan Negeri Perak Darul Ridzuan' dan tebing bukit di seberang jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang yang tertulis 'Selamat Datang Ke Cameron Highlands Pahang Darul Makmur.'

Selepas melakukan senaman meregangkan otot, kami mula mendaki sekitar pukul 9.53 pagi. Lereng cerun didaki sebelum kami memasuki kawasan hutan. Trek awal menuntut kami memerah sedikit tenaga untuk sampai ke puncak Gunung Pass. Kira-kira 45 minit kemudian, kami tiba di simpang menuju ke puncak gunung tersebut. Kami berehat seketika sebelum mengatur langkah menuju ke puncak Pass. Tidak sampai lima minit berjalan, kami tiba di puncak yang sempit dan dikelilingi pokok.

Selesai sesi bergambar, kami berpatah balik ke simpang tadi dan bermulalah cabaran sebenar mendaki gunung. Ini kerana laluan yang ditempuh memerlukan pendaki melepasi lima puncak bukit sebelum tiba di puncak Gunung Yellow.

Mengikut penilaian ahli Kelab OGKL yang pernah mendaki gunung ini ketika trek kering, gunung ini diletakkan di dalam Gred C iaitu tidak terlalu sukar. Namun bagi penulis, penilaian itu tepat jika pendakian tidak dilakukan dalam hujan lebat. Ini kerana hujan bukan sahaja menyebabkan laluan berlumpur, malah bertukar menjadi 'air terjun'.

Itulah yang menimpa kami sekitar pukul 2 petang, apabila curahan hujan menukar laluan mudah menjadi sedikit sukar. Keadaan ini menyebabkan ada di kalangan krew kelab yang bertugas di dalam program ini berkata, "Kalau hujan lebat, bukan lagi Gred C. Kena tukar jadi Gred B."

Sementara itu, di sesetengah laluan, kami terpaksa memijak lumpur yang agak dalam. Malah ada peserta terpaksa 'berenang' di dalam lumpur ketika meniarap mahu melepasi halangan pokok tumbang.

Hujan lebat berhenti sekitar pukul 3.15 petang dan dalam kesejukan kerana masih renyai-renyai, kami meneruskan perjalanan ke puncak.

Satu jam kemudian, saya bersama Rosmawati Hamzah (Cikgu Ros), 30, tiba di puncak. Seorang demi seorang peserta tiba dengan peserta terakhir tiba pada pukul 7.50 malam.

Kawasan puncak Gunung Yellow tidaklah luas sangat, namun boleh menampung kira-kira 30 pendaki. Kami hanya mendirikan satu khemah sahaja. Selebihnya, kami pasang flysheet sebagai tempat memasak dan tempat tidur.

Pemandangan 360 darjah boleh dilihat dari puncak. Dari kejauhan, kami dapat melihat Gunung Chabang, Suku dan Irau.

Sebelum menantikan detik 12 malam, kami mengadakan majlis ta'aruf iaitu sesi berkenalan. Sebelum itu, kami menikmati makan malam yang disediakan oleh Norsharaini Ramli (Ayong), 28, dan rakan-rakan. Menu ikan merah masak cili, sup cendawan, telur dadar dan ulam timun memang menyelerakan. Jarang ada kumpulan pendaki membawa ikan segar ke puncak gunung, tetapi itulah kelainan Kelab OGKL!

Majlis ta'aruf dipengerusikan oleh Erwan Lasahebe (Wak), 34, Kelakar orangnya sehinggakan setiap apa yang diperkatakan pasti berakhir dengan ketawa. Ada sahaja idea Wak menceriakan suasana. Hilang penat dan rasa mengantuk sementara menunggu detik 12 malam.

Detik yang ditunggu tiba sebaik sahaja jarum jam menunjukkan angka 12. Ia menandakan berakhirnya tahun 2011 dan bermulanya tahun 2012.

Memang indah malam tatkala cahaya langit di sekitar puncak Gunung Yellow disimbah percikan bunga api. Tidur di puncak gunung memang sejuk, tetapi jika memakai pakaian yang sesuai, ia tidak menjadi masalah.

Kabus dan udara sejuk menguasai persekitaran. Selepas sarapan nasi goreng dan bergambar berkumpulan, kami beransur-ansur menuruni gunung. Laluan berlumpur hitam tidak dapat dielakkan. Pijak sahajalah. Saya bersama Cikgu Ros dan Suriyati Madi (Su), 32, berjalan bersama. Kami berjalan tanpa henti, dan jika berehat pun sekejap sahaja. Kira-kira 15 minit sebelum sampai ke puncak Gunung Pass, saya mula terdengar suara gelak ketawa rakan-rakan di hadapan. Kenal benar suara itu dan saya mempercepatkan langkah. Di simpang ke puncak Gunung Pass, kelihatan Wak, Afif Che Embi (Apip), 35, Razman Arsad, 26, dan Mazrizal sedang berbual dan bergelak ketawa. Pendakian turun agak mudah dan mengambil masa sekitar setengah jam. Alhamdulillah, saya tiba sebelum hujan lebat iaitu sekitar pukul 2.45 petang di jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang.

Langit yang pada mulanya cerah tiba-tiba bertukar kelabu. Ahhh...nak hujan ni. Tanpa melengahkan masa, Apip memasang flysheet. Dalam hujan lebat, saya melihat seorang demi seorang peserta menuruni tebing bukit terakhir. Kami berkumpul semula untuk menaiki lori sayur yang membawa kami balik ke Masjid Kampung Raja. Lewat petang kami tiba, dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat membeli jagung dan buah strawberi.

Antara aktiviti terdekat anjuran Kelab OGKL adalah mendaki Gunung Berembun dan Gunung Telapa Burok, Negeri Sembilan (Februari); mendaki Gunung Tebu, Terengganu (Mac); Berbasikal Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser (April) dan Kayak Pulau Kapas (Mei).

Bagi mereka yang berminat mengikuti aktiviti anjuran Kelab OGKL, bolehlah menghubungi crew@ogkl.com.my atau www.ogkl.com.my atau laman sosial http://groups.to/ogkl/.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: