Thursday, January 5, 2012

Keprihatinan Adura banyak membantu


Kesukaran hidup keluarga Farah Mohd. Nor mendapat simpati Adura.


APAPUN, pujian sepatutnya diberikan kepada wanita ini, Adura Kamaruzaman, 30, yang begitu prihatin dengan nasib keluarga lapan beradik ini.

Kunjungan kami ke PPR Hiliran Ampang tempat keluarga ini tinggal pun atas kesediaan wanita ini memberikan maklumat kerana mahukan keluarga ini dibantu oleh masyarakat, walau dengan apa cara sekali pun.

Biarpun tiada talian persaudaraan dengan keluarga Farah Mohd. Nor, namun atas rasa semangat kemanusiaan yang tinggi, Adura yang juga pada masa itu baru enam bulan dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sebuah sekolah di Kuala Lumpur, sanggup turun padang membantu keluarga ini sedaya yang boleh.

''Kisah saya bertemu Mohd. Firdaus dan adik-adiknya adalah secara tidak sengaja.

"Selepas saya menghantar anak saya ke sekolah pada bulan Julai lalu, dalam laluan pulang saya ternampak empat beradik ini (Mohd. Firdaus, Mohd. Fadhil, Mohd. Faroq dan Mohd. Fikri) sedang mencari besi buruk di sebuah kawasan perumahan di sekitar Kampung Pandan.

''Atas rasa ingin tahu saya mengekori dan mengambil gambar mereka dari jauh. Selepas itu saya turun dari kereta dan bertanya kepada mereka kenapa mereka tidak pergi ke sekolah," katanya.

Kata Adura, adik-beradik itu memberitahu, keluarga mereka sedang susah ketika itu, ibu mereka sedang sarat hendak bersalin, ayah mereka pula diberhentikan kerja dan mereka perlu mencari duit untuk menampung perbelanjaan.

Kebetulan pula Mohd. Faroq dan Mohd. Fikri belajar di sekolah sama dan sebagai YDP PIBG sekolah, Adura terpanggil untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Hasil daripada keterangan itu, Adura terus berjumpa dengan ibu remaja berkenaan yang kemudian merungkai semua persoalan yang berada di benaknya.

''Selepas pertemuan itu baru saya tahu semua kisah mereka. Ketika itu keluarga ini telah pun menerima surat arahan untuk keluar dari rumah PPR ini kerana tunggakan bulanan berjumlah RM8,000 tidak dijelaskan.

''Saya segera membawa mereka ke Baitulmal, memberitahu masalah mereka. Alhamdulillah pihak Baitulmal telah menjelaskan tunggakan tersebut. Seterusnya saya membawa Farah ke hospital yang sakit hendak bersalin," jelas ibu muda yang mempunyai dua cahaya mata ini.

Dalam pada itu atas daya usaha Adura juga dan dibantu oleh rakan-rakan lain dalam PIBG tersebut, rumah keluarga yang kosong itu kini telah terisi dengan beberapa perabot terpakai dan membantu membayar tunggakan bil elektrik dan air.

Bukan setakat material, Adura juga membantu memberi sokongan dan semangat kepada keluarga ini.

''Apabila saya ke sekolah saya mendapati kehadiran ke sekolah adik-adik Mohd. Firdaus tidaklah memberangsangkan.

''Dalam seminggu mungkin sekali dua mereka ke sekolah dan selebihnya mereka melakukan kerja-kerja mencari barangan lusuh untuk dijual ataupun berada di kafe siber," katanya yang turut menghantar anak-anak Farah ke sekolah pada setiap pagi.

Memandangkan anak-anak ini masih tidak boleh membaca dan menulis, Adura juga meluangkan masa lapangnya pada waktu malam mengambil anak-anak Farah, membawanya ke rumah dan kemudian mengajar anak-anak Farah membaca dan menulis, dalam tempoh seminggu dua kali.

''Saya juga ada berbincang dengan Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN) Titiwangsa, Datuk Johari Abd. Ghani mengenai anak-anak keluarga ini.

"Beliau kemudian sudi menghulurkan seberapa banyak bantuan termasuk membayar upah cikgu mengajar kelas tambahan kepada anak-anak ini di rumah saya.

''Namun saya rasa sekarang sudah tidak terkejar untuk membantu dan mengajar anak-anak ini akibat faktor waktu dan masa saya bersama keluarga sendiri," katanya yang mempunyai perniagaan sendiri.

Beliau pernah menyuarakan hasrat untuk menghantar Mohd. Firdaus dan Mohd. Fadhil ke asrama berbentuk asas kemahiran.

Malangnya apabila langkah itu diajukan kepada pihak berkenaan, hasratnya itu menemui jalan buntu memandangkan anak-anak ini tidak boleh membaca dan menulis.

Jadi sebagai langkah terakhir, apa yang dilakukannya kini ialah meminta sesiapa sahaja yang boleh membantu memberikan kelas tambahan membaca dan menulis kepada anak-anak ini agar mereka boleh mendapat kemahiran asas.

''Saya rasa biarlah masyarakat sekeliling yang prihatin turut membantu kehidupan malang anak-anak ini agar masa depan mereka tidak terus diperjudikan.

''Anak remaja seperti Mohd. Firdaus dan Mohd. Fadhil ini perlukan panduan daripada orang dewasa yang berakal agar masa depan mereka terurus.

''Kita tidak mahu kehidupan mereka yang sebegini akan menjadikan mereka 'sampah' kepada masyarakat satu hari nanti," katanya.

Sekiranya ada di kalangan masyarakat yang mahu menempatkan anak-anak ini di sebuah asrama yang lengkap dengan kemudahan asas kemahiran menulis dan membaca atau membantu keluarga Farah bolehlah menghubungi Adura di talian 013-3569567.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: