Thursday, January 5, 2012

masa depan lapan beradik suram


Sebagai kanak-kanak Nur Faizah (kiri) dan Nur Shafiqah masih terlalu muda untuk mengenal erti kesusahan.


Sekiranya dua adik-beradik ini berada di bangku sekolah, sudah pasti yang sulung pada tahun ini merupakan salah seorang calon yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala adiknya itu berada di tingkatan dua.

Namun kesempatan untuk belajar tidak pernah ada dalam diri dua remaja ini memandangkan mereka tidak pernah berpeluang untuk ke sekolah, walaupun sehari.

Sebaliknya usia mereka dihabiskan dengan memungut dan mencari besi dan barangan lusuh untuk dikumpul sebelum dijual kepada peraih yang berada di sekitar tempat mereka tinggal.

Justeru, sedang kanak-kanak lain yang sebaya sibuk menelaah pelajaran dan berpeluang mencuba pakaian sekolah setiap kali memasuki tahun baru, dua beradik ini, Mohd. Firdaus, 15, dan Mohd. Fadhil, 14, hanya akan ‘meronda’ di kawasan sekitar untuk mencari apa sahaja yang dirasakan dapat ‘dijadikan’ duit.

Mereka bukannya tidak mempunyai ibu dan bapa, malah di bawah mereka terdapat enam lagi adik-adik lain, Mohd. Faroq, 13, Nor Atiqah, 11, Mohd. Fikri, 10, Nur Faizah, 7, Nur Shafiqah, 4, dan Mohd. Faris, 8 bulan.

Bagaimanapun empat lagi adik mereka berpeluang ke sekolah biarpun kehadiran mereka ke sekolah amat minimum.

Apa yang menyedihkan, biarpun ke sekolah, keempat-empat mereka masih tidak boleh membaca dan menulis, manakala dua lagi adik mereka yang masih kecil disahkan doktor mengalami kekurangan zat nutrisi.

Menurut ibu mereka, Farah Mohd. Nor, 31, yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, bukanlah niatnya untuk membesarkan anak-anak dalam kehidupan daif seperti itu.

Kenyataan hidup yang perlu dihadapi mereka menyebabkan jalan susah itu terpaksa dipikul oleh dua anak remajanya dan adik-adik mereka yang lain.

‘‘Bukanlah niat kami (suami dan isteri) untuk tidak menyekolahkan anak-anak, saya tahu ini salah kami.

Namun masa anak sulung saya lahir, pelbagai keadaan permasalahan yang perlu kami hadapi.

‘‘Ditambah pula pada ketika itu Along (panggilan untuk Mohd. Firdaus) menderita sakit jantung, kami pula sedang mempunyai masalah keluarga maklumlah usia masa itu masih muda dan tidak matang lagi.

“Pelbagai masalah yang menimpa akibat perkahwinan tidak direstui. Kami hanya berpindah-randah untuk mengatasi keadaan sedangkan konflik semakin bertambah dan sedar tidak sedar, anak kami yang kedua pula lahir.

‘‘Pada waktu itu kami baru sedar, kedua-duanya lahir tanpa mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kami juga tidak berpelajaran dan tiada pengetahuan. Kedua-dua anak kami itu hanya baru-baru ini mempunyai sijil lahir setelah dibantu oleh salah seorang ahli keluarga,” katanya sebak.

Menurut Farah lagi, dia hanya bersekolah setakat darjah lima apabila konflik melanda keluarganya yang berpecah-belah.

Dia kemudian membantu mak ciknya di pasar malam, sebelum bertemu Kafli Hashim, 50, yang berasal dari Perak, dan ketika itu baru sampai di Kuala Lumpur untuk mencari kerja.

Ketika berkahwin, usia Farah baru 16 tahun dan Kafli pula hanya bekerja kontrak dengan kelulusan setakat tingkatan tiga.

Setelah beberapa lama, suaminya itu diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sebanyak RM1,000 sebulan.

‘‘Dengan pendapatan seperti itu, kami membiayai penghidupan kami. Dulu kami tinggal di sebuah kawasan setinggan di Kampung Pandan, sebelum dipindahkan ke PPR (Projek Perumahan Rakyat) Hiliran Ampang ini sejak lima tahun lepas.

‘‘Saya nak sekolahkan anak-anak saya yang dua orang itu (merujuk kepada Mohd. Firdaus dan Mohd. Fadhil). Saya nak masukkan mereka ke kelas tambahan tapi saya tak mampu, nak ajar sendiri pun saya tak mampu.

‘‘Pernah kami anak-beranak tak makan atau hanya makan sekali sehari kerana tiada duit untuk beli makanan.

“Rumah yang kami duduki ini memerlukan pembayaran sebulan sekali RM124, belum lagi bil air dan elektrik,” jelasnya ketika ditemui di PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru-baru ini.

Ketika pertemuan di rumah berkeluasan sederhana yang mempunyai tiga bilik pada petang itu, suami Farah tiada di rumah kerana keluar bekerja manakala suri rumah itu pula baru selesai memasak untuk makan tengah hari.

Kelapan-lapan anaknya berada di dalam rumah ketika itu, namun kelibat Mohd. Firdaus dan Mohd. Fadhil hilang sebaik kaki kami melangkah ke dalam rumah.

Jelas Farah, hasil daripada bantuan insan yang prihatin dengan nasib keluarga ini mereka memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendapat bantuan bulanan secara tahunan sebanyak RM350 sebulan.

Setiap hujung tahun Baitulmal turut membantu menyediakan kelengkapan sekolah kepada anak-anak yang bersekolah.

Apabila ditanya bagaimana anak-anaknya mengetahui besi lusuh seperti itu mempunyai nilai, Farah memberitahu, semua itu berlaku ketika dia membuang sampah dan memberitahu anak-anaknya barangan seperti itu laku untuk dijual.

Semenjak dari itu selain Mohd. Firdaus dan Mohd. Fadhil, anak-anak lelakinya yang lain turut mengumpul barangan lusuh untuk dijual.

Apabila ditanya apakah yang akan dilakukan tentang nasib anak-anaknya itu pada masa depan, Farah yang buntu hanya menjawab dengan gelengan kepala.

‘‘Kami pun tak hendak perkara seperti ini terjadi. Kami tak mampu. Suami saya pun tak kuat sangat nak bekerja sekarang selepas berlaku kemalangan menyebabkan tulang bahunya patah. Saya pula tidak bekerja.

‘‘Suami saya sekarang hanya bekerja kontrak mengikut rakan-rakannya, selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sejak bulan Julai lalu. Ada kerja adalah gaji... dapatlah RM100 atau RM200...,” katanya lemah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: