Friday, January 6, 2012

Kembar empat 'hadiah' tidak ternilai


Dr. Afida Mohamad Ali dan suaminya, Ghazi Mohd. Ghazali memangku bayi kembar empat sambil diperhatikan anak sulong mereka, Sofie Aleeya.


ANDA adalah super mum. Untungnya sekali beranak dapat empat sekali gus.'' Itu adalah antara kata-kata pujian yang diberikan kepada Dr. Afida Mohamad Ali, 36, yang melahirkan anak kembar empat pada 2 Disember lalu.

Memanglah tidak dapat digambarkan bagaimana gembira, seronok, bangga dan bersyukurnya Afida dengan anugerah Allah tersebut.

Afida sendiri adalah anak kembar (kembarnya, Afiza), namun dia sedikit pun tidak pernah menyangka bahawa akan mempunyai anak kembar apatah lagi empat sekali gus.

Doa suaminya, Ghazi Mohd. Ghazali, 40, seorang jurutera supaya dikurniakan anak kembar dimakbulkan dan 'hadiah' yang tidak ternilai ini diterima dengan penuh kesyukuran.

Sebelum kehamilan kembar empat ini, Ghazi dan Afida telah pun dikurniakan anak sulung, Sofie Aleeya yang kini berusia empat tahun.

Menceritakan detik awal sebelum kehamilan kembar empatnya, pensyarah kanan bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia itu berkata, mulanya dia menjalani rawatan sindrom pcos di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Katanya yang ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor, ramai wanita sekarang yang mengalami sindrom pcos di mana ovari tidak cukup matang dan apabila benih disenyawa, benih akan hilang begitu sahaja.

''Mulanya saya diberi makan ubat bagi mematangkan dan menguatkan ovari supaya benih boleh disenyawakan. Apabila usaha ini tidak mendatangkan kesan, saya menjalani rawatan IUI (Intra Uterine Insemination) pula dan ternyata menjadi.

"Selepas sebulan menjalani rawatan IUI ini, saya disahkan hamil dan doktor mendapati saya kembar empat. Anak sulung saya juga diperoleh melalui cara ini.

''Proses ini tidak menyakitkan dan bayaran yang dikenakan amat minimum sekali,'' ujar Afida yang nampak sedikit letih kerana kurang tidur menjaga bayi-bayinya.

Menceritakan bagaimana dia melalui proses sepanjang kehamilan, tambah Afida lagi, tiga bulan pertama dia mengalami alahan hamil yang begitu teruk sekali di mana dia muntah sebanyak sembilan kali sehari dan badan berasa kurang selesa.

Pada bulan kelima, katanya, keadaannya kembali pulih dan pada kehamilan enam bulan ke atas, keadaannya kembali tidak selesa.

''Pergerakan saya begitu terbatas kerana tidak boleh bergerak cergas seperti biasa, tidur pun susah kerana terpaksa terlentang sahaja dan tidak selesa walaupun berbaring atas tiga lapis tilam.

''Doktor memberikan saya multivitamin untuk selera makan. Menurut doktor, saya perlu makan banyak supaya berat badan bayi bertambah agar bayi kuat semasa dilahirkan.

''Bayangkan berat badan saya ketika itu sebanyak 92 kg ( kilogram) sedangkan sebelum hamil berat saya 55 kg sahaja.

"Oleh kerana perut saya besar, jadi apabila duduk, perut saya berada di atas paha. Hendak berjalan pun tak terdaya. Bersolat pun dengan terbaring sahaja di atas katil.

''Saya juga perlu mengambil suntikan anti coangulant setiap hari bagi mengelakkan darah beku. Suntikan ini saya buat sendiri sebab tidak larat hendak berjumpa doktor setiap hari,'' jelasnya yang banyak mendapat bantuan fizikal dan mental daripada suami dan keluarga.

Pada bulan ke tujuh dan ke lapan pula kata Afida, dia terpaksa terlantar di hospital untuk pemantauan doktor sementara menunggu kehamilan matang pada tempoh 34 minggu.

''Semasa tinggal di hospital, pelbagai cabaran yang saya hadapi.

"Emosi sedikit terganggu dengan keadaan badan yang besar, anak sulung yang dijaga sepenuhnya oleh suami, bapa mentua pula meninggal dunia dan sebagainya," katanya.

Ketika menceritakan saat-saat dibedah, Afida seperti dapat mengingati kembali proses yang mencemaskan dan menakutkannya sehingga dia menjadi panik di meja bedah.

''Saya mengambil suntikan epidural pada tulang belakang dan ramai jururawat yang memegang saya kerana bimbang saya terjatuh ke bawah dengan keadaan badan saya yang besar.

" Ini yang membuatkan saya ketakutan dan dengan bius separa, saya dapat melihat segala proses daripada mula hingga akhir yang mengambil masa selama dua jam.

''Syaza Ameena dilahirkan dahulu diikuti Hafiz Arif, Haziq Arif yang setiap seorang seberat 1.9 kilogram dan akhir sekali Syaura Adeela 1.5 kilogram

''Syaza Ameena dan Haziq Arif boleh dibawa balik ke rumah sementara Hafiz Arif balik seminggu kemudian dan Syaura Adeela dua minggu selepas itu kerana daya hisapan botol susu yang tidak kuat,'' kata Afida yang berat badannya kini telah turun ke 70 kg.

Afida berkata, dia memberikan susu ibu dan susu formula kepada keempat-empat bayi kembarnya itu dan setiap kali penyusuan mengambil masa selama satu setengah jam.

Selepas menyusu, mereka akan tidur selama tiga jam dan waktu inilah Afida boleh berehat seketika sementara menunggu waktu menyusu lain.

Afida tidak menafikan perbelanjaan untuk mereka memang besar bagi menyediakan susu, lampin pakai buang, kapas muka (bagi membersihkan muka dan mata bayi) dan kertas tisu.

Dia bernasib baik kerana kembarnya, Afiza yang juga mempunyai bayi sanggup memerah susunya dan menjadi ibu susuan kepada kembar empat tersebut.

Selain itu, dua lagi wanita yang memberikan susu badan yang diperah dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibekukan di dalam peti sejuk.

''Kembar empat ini masih dalam jagaan rapi daripada segi kebersihan seperti semasa di dalam unit jagaan rapi neonatal.

" Sebelum memegang mereka, tangan perlu dibasuh bersih bagi mengelakkan sebarang masalah penyakit atau jangkitan.

''Saudara-mara pun masih belum dibenarkan melawat dan terpaksa menunggu sehingga usia mereka dua bulan,'' ujar Afida yang tidak berkesempatan menjalani rawatan pantang seperti wanita lain kerana kesibukan menjaga kembar empatnya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: