Friday, January 6, 2012

Hidangan asli Australia di Fontana Cafe


STEAK ini menggunakan minyak bunga matahari dan diperap dengan jus anggur sparkling yang tidak mengandungi alkohol.


SEBAIK menjejakkan kaki ke Fontana Cafe umpama berada di negara Australia. Mana tidaknya, di setiap sudut ada bendera negara yang terkenal dengan beruang koala tersebut.

Bukan itu sahaja, televisyen yang diletakkan di tengah-tengah kafe juga sentiasa menayangkan perlawanan bola sepak Australia menyebabkan pengunjung seolah berada di negara tersebut.

Kemudian mata tertumpu pula ke satu sudut yang terdapat begitu banyak hadiah dengan setiap satunya dilekatkan nombor umpama menunggu untuk dicabut oleh sesiapa yang bertuah.

Lalu terus bertanya kepada kepada pemilik kafe tujuan lambakan hadiah-hadiah menarik tersebut.

"Memang ia salah satu tarikan untuk pelanggan yang menikmati makanan di kafe ini," ujar Idzauriza Idrus, selaku pemilik Fontana Cafe ini.

Sambungnya, idea untuk melakukan cabutan bertuah kepada pelanggan bukanlah sesuatu yang asing di mana-mana restoran di Australia.

Bukan sekadar cabutan bertuah, bahkan pemilik restoran di sana turut mengadakan persembahan persembahan dam aktiviti, serta melengkapkan pelayannya dengan pelbagai aksesori semata-mata untuk menarik pelanggan.

"Cabutan hadiah ini dilakukan sebanyak tiga kali setiap hari, pada pukul 6.30 petang, 8.30 dan 10.30 malam. Selain seronok dengan hadiah yang didapati, ini juga salah satu cara untuk memupuk kemesraan di kalangan ahli keluarga dan sahabat yang datang makan di sini," jelasnya.

Menurut Idzauriza lagi, kebanyakan pelanggan di Australia akan menjadi pelanggan setia di satu-satu kafe atau restoran kerana tarikan ini.

Pelayan pula diajar untuk menganggap pelanggan seperti sahabat dan memahami menu yang pelanggan mahukan.

"Memang tidak menjadi masalah jika pelanggan mahukan makanan mengikut cita rasa mereka sendiri seperti kurang manis, kurang garam dan sebagainya, kerana mereka bersedia memenuhi apa saja permintaan mengikut kehendak pelanggan," jelasnya sambil dipersetujui suami, Steven Barry Fontana, seorang warga Australia.

Menceritakan tentang sejarah penubuhan Fontana Cafe, Idzauriza berkata, idea tersebut datang secara tidak sengaja.

"Pada November 2009, saya telah diminta oleh keluarga suami untuk membantu rakan karib keluarga menyiapkan juadah bagi majlis pengkebumian isterinya.

"Saya bersetuju dan terus menyediakan makanan ringan Barat dan Malaysia untuk upacara tersebut.

"Tahun berikutnya saya menerima satu lagi tempahan dan kali ini untuk persatuan pula, lalu saya terus mendaftarkan perniagaan katering yang diberi nama Ajahar Catering di Australia," ujar Idzauriza yang telah menetap di Australia selama lapan tahun.

Menurut ibu kepada tujuh cahaya mata ini, apabila suaminya menyatakan hasrat untuk menetap di Malaysia, idea untuk menubuhkan kafe berkonsepkan Australia ini pun timbul.

"Menggabungkan pengalaman dan pengajian saya dulu pun dalam bidang hotel dan katering, justeru saya memang yakin dengan penubuhan kafe ini yang terletak di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

"Menu istimewa di sini adalah oz burger yang amat diminati rakyat Australia, selain itu Norwegian salmon salad, lamb chop, roast beff, sirloin steak dan Fontana burger," katanya yang memasak menggunakan minyak bunga matahari, canola dan minyak zaitun sahaja.

Selain itu Fontana Cafe juga menjual dan mempamerkan barang-barang dari Australia dan Malaysia untuk tatapan para pelanggan di sini.

Dan untuk memeriahkan lagi suasana, kafe ini juga kan mengadakan pertunjukkan kebudayaan.

"Pelanggan juga boleh mencuba alat muzik masyarakat asli Australia yang diberi nama Didgeridoo. Ini satu pengalaman yang unik yang tidak boleh didapati di mana-mana selain Australia," jelasnya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Riza di talian 016-3468594.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: