
TV9 (Saluran 119) membuka lembaran tahun 2012 dengan sebuah program bual bicara sukan bola sepak, Kaki Bola.
Rancangan mingguan yang pastinya akan membuat anda melekat di kaca televisyen itu sudah mula disiarkan pada 9 Januari 2012, setiap Isnin, pukul 9.30 malam. Ia diterajui oleh penyampai radio popular Hot FM, Maskiran Jakiran (Kieran) dan Seelan Paul.
Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, pihak mereka mahu memberikan program-program yang terbaik sepanjang tahun ini. Justeru Kaki Bola menjadi salah satu program taruhan mereka yang dijangka mengumpul rating tersendiri di kalangan penggemar sukan tersebut.
"Tahun 2012 menjanjikan hanya yang terbaik dari TV9. Kami akan memperkenal, memperbaharui dan menyuntik elemen-elemen baharu serta mempelbagaikan genre di dalam kandungan program kami. Penerimaan positif pada tahun lalu memberikan kami dorongan untuk tampil dengan pendekatan yang lebih berani."
"Kami amat yakin rancangan Kaki Bola akan menyambung kejayaan yang telah dikecapi oleh TV9 pada tahun 2011 lebih-lebih lagi dengan kolaborasi eksklusif bersama TM dan Hot FM yang sememangnya terkenal dengan sokongan terhadap persada sukan tanah air," ujarnya.
Dia turut menambah, pihak TV9 amat teruja dengan gandingan hos mereka iaitu Kieran dan Seelan Paul yang memang terkenal sebagai peminat tegar sukan tersebut serta mampu memberi pendapat bernas mereka berkaitan dengan bola sepak.
Kaki Bola merupakan sebuah program santai dan interaktif serta mampu membuat para penonton tidak berganjak dari hadapan kaca televisyen. Ia berkonsepkan daripada peminat untuk peminat di mana semua yang terlibat dalam pembikinan program ini seperti pengacara, pihak produksi dan lain-lain adalah penyokong setia bola sepak.
Untuk mendekatkan diri dengan penonton-penonton TV9, penyokong-penyokong bola sepak juga berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada rancangan ini di dalam studio dan mereka juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah-hadiah menarik. Bukan itu sahaja, seorang tetamu yang terdiri dari pemain bola sepak atau personaliti akan dijemput ke set pada setiap episod untuk sama-sama membincangkan perihal bola dan menjalankan aktiviti-aktiviti menarik tentang topik yang diketengahkan.
Ia juga mengandungi beberapa buah segmen termasuk segmen Gua Cabar Lu Buat, Kenali Pemain Anda dan Team Malaysia Kaki Sukan yang akan membincangkan tentang isu-isu dan aktiviti yang sedang berlaku di dalam dunia bola sepak seperti pertandingan bola sepak pada minggu itu, perpindahan pemain, gosip dan fesyen.
Selain segmen tersebut, terdapat satu lagi segmen istimewa di dalam rancangan ini iaitu Mencari Ramli yang juga merupakan segmen tajaan TM. Mengulas tentang segmen ini, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman, berkata: "Segmen Mencari Ramli merupakan kesinambungan daripada kempen Team Malaysia dalam aspirasi mencungkil bakat seorang rakyat Malaysia bermain bersama pasukan bola sepak gergasi Liga Perdana Inggeris satu hari nanti.

"Segmen yang merupakan sebahagian daripada rancangan Kaki Bola akan memaparkan kisah 30 orang pemain bola sepak Malaysia (Bawah 16 tahun) dari Sekolah Sukan Bukit Jalil serta ranjau dan liku-liku yang mereka lalui sebelum menjadi pengisi kepada karakter Ramli seperti yang diceritakan melalui iklan televisyen TM-MU. Ganjaran yang menanti para pemain yang terpilih amatlah menarik termasuk sesi latihan intensif di Manchester United Soccer School.
Selain disiarkan di TV9, Kaki Bola juga boleh didengari melalui corong radio selama satu jam (6 petang hingga 7 petang) pada hari Isnin yang sekali gus memberi peluang kepada para peminat bola sepak untuk mendengar segala perihal sukan bola sepak sebelum rancangan Kaki Bola bermula pada waktu malam pada hari yang sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: