KUALA TERENGGANU - Selepas hampir dua bulan meninggalkan Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), penyanyi terkenal, Jamal Abdillah, 53, yakin mampu mengawal dirinya daripada terlibat semula dengan dadah.
Raja pop itu berkata, Pengasih banyak membantunya selama ini sehingga berjaya 'mengubatinya' dan kembali menjalani kehidupan normal sekarang.
"Apa pun saya memang kena berterima kasih dan bersyukur. Saya akui tanpa Pengasih saya tidak akan sihat seperti sekarang.
"Tetapi walaupun saya sudah tinggal di luar (rumah Pengasih) saya percaya saya boleh kawal diri," katanya selepas majlis Makan Malam dan Konsert Jamal Abdillah di Hotel Permai di sini kelmarin.
Penyanyi itu mendendangkan 12 buah lagu pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 500 peminatnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Jamal diarah keluar oleh pihak pengurusan rumah Pengasih di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada awal November lalu selepas lima tahun menjadi penghuni pusat itu.
Jamal turut melahirkan rasa terkilan dan tertekan dengan tuduhan bahawa dia tidak menyumbang apa-apa kepada pusat tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: