Sunday, January 8, 2012

Izham takut jadi malas


MOMEN Izham bersama para pemenang dan artis yang terlibat dalam program Shout! Awads.


IDEA untuk membentuk sebuah saluran televisyen yang menepati citarasa anak muda ialah visi perdana dan asal penubuhan 8TV dalam senarai saluran televisyen tempatan.

Dengan kata tanda dagang We Are Different, saluran 8TV membina identiti tersendiri dan menyediakan hidangan menepati cita rasa anak-anak muda yang sebelum ini ghairah disuapkan dengan hidangan luar negara seperti MTV dan rancangan yang sealiran dengannya.

Penulis bertemu Ahmad Izham Omar di pejabatnya untuk menyelami perjalanan saluran yang dilihat mengetengahkan selera urban ini. Tanggal 8 Januari ialah tarikh kelahiran 8TV dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd. ini relaks dalam memperincikan saluran televisyen yang dikendalikannya.

Dayungan awal 8TV

"Menggerakkan 8TV pada awal penubuhannya agak sukar. Kita melancarkan saluran 8TV pada 8 Januari 2004. Beberapa bulan sebelum itu, saluran Channel 9 baru dilancarkan. Saya masuk pada bulan September 2003 dan kumpulan saya hanya ada masa empat bulan untuk membuat persiapan sebelum ia dilancarkan," ujar Ahmad Izham.

"Kesukaran awalnya adalah untuk mendapat tenaga kerja yang mempunyai wawasan yang sama dengan kami. 8TV mahukan orang yang tepat iaitu mempunyai keghairahan yang sama seperti kehendak saluran," luahnya yang gembira melihat kru kerja 8TV kini yang berjalan selari dengan saluran tersebut.

Berlandaskan interaktif dan keaslian program, tahun pertama siaran 8TV mendapat reaksi positif. Malah masuk ke tahun kelapan penubuhannya, Ahmad Izham meluahkan rasa bangganya melihat saluran 8TV dapat berdiri dengan jenama yang tersendiri. Manakan tidak, saluran 8TV menempa nama dalam industri dan pernah memenangi anugerah seperti Phoenix Awards, Promax/BDA Awards dan Anugerah Skrin yang mana 8TV memenangi tiga anugerah antarabangsa dalam dua kategori berbeza di 2009 Phoenix Awards yang dianjurkan di Singapura.


IZHAM menyampaikan ucapan sewaktu sidang media pelancaran Shout! Awards di ibu negara baru-baru ini.


"8TV mahukan kelainan. Kita bermula secara agresif dengan menyiarkan Euro 2004, Grand Prix Formula Satu (F1) serta beberapa drama bersiri luar negara seperti Desperate Housewives. Malah 8TV juga menyiarkan rancangan-rancangan dari Hong Kong, Korea dan Jepun yang bersesuaian dengan selera khalayak.

"8TV kini mempunyai produk sendiri seperti Quickie, Latte at 8, Malaysian Idol dan One In A Million. Kita percaya program-program ini memenuhi citarasa umum," luah Izham, individu yang juga merupakan tulang belakang kepada label rakaman Positive Tone satu ketika dahulu.

"Melihat kepada perjalanan saluran 8TV sekarang, ratingnya semakin naik, begitu juga punca pendapatannya. Malah jenama 8TV juga kuat. 8TV menetapkan target tontonan kepada golongan muda iaitu untuk usia 15 hingga 35 tahun. Itu set minda 8TV," kata Izham yang banyak berterima kasih kepada saluran TV3 yang banyak membantu pada awal perjalanan mereka.

Stategi 2011

Sebagai sambutan tahunan, ujar Izham, tahun ini, 8TV menyediakan sebuah konsert secara besar-besaran yang dilaksanakan semalam, di One Utama, Bandar Utama, Selangor.

"Kita buat konsert hiburan selama lapan jam tanpa henti. acara yang dinamakan Big 8 Bash itu dimulakan dengan konsert artis Cina dan kemudian diikuti dengan konsert urban yang berdurasi dua jam," ujar Izham tentang konsert yang mengundang The Azenders, Kyoto Protocol, Reza Salleh, Liyana Fizi dan finalis Ultimate Power Star, Kopi dan Vivian.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan rapper terkenal Joe Flizzow, Sona One, Altimate, Arabyrd, Juara Showdown 2011 dan Elecoldxhot juga menghiburkan dengan gerak tari kreatif mereka.

Terus berbeza

Izham menjelaskan, cabaran untuk tahun ini datang dalam bentuk berbeza. Jika awal dahulu mereka mahukan kepercayaan umum terhadap saluran ini namun untuk tahun kelapan, 8TV menghadapi cabaran untuk sentiasa tampil dengan elemen-elemen yang baharu.

"Kami boleh berbangga dengan Showdown dan Shout Award yang merupakan produk kami. Program tarian Showdown diterima ramai dan Shout! Awards muncul dengan identiti anugerah yang menekankan produk-produk baharu yang mencetuskan impak baru dan progresif kepada muzik, televisyen, radio dan filem tanah air kerana ia relevan yang tidak bertindih konsep dengan anugerah lain," senyum Izham.


SEIRING dengan gaya dan sikapnya yang gemarkan cabaran dan sentiasa tampil dengan sesuatu yang baharu, 8TV juga merupakan salah satu 'anak' Izham yang boleh dibanggakan. Paling takut dengan sikap malas, Izham mahu sentiasa ke hadapan dan berasakan perlu bergerak laju.


Untuk tahun ini, 8TV bakal tampil dengan sebuah program televisyen yang dinamakan Projek Pop.

"Program ini mengisahkan kehidupan anak muda dalam dunia muzik dan lebih menekankan peristiwa di belakang tabir. Diarahkan oleh Adam Sinclair, Projek Pop turut mengundang Phlowtron dalam siri ini," Izham memberi sedikit gambaran tentang rancangan terbaharu 8TV.

"8TV mengambil dan berdepan dengan risiko dengan mencari kelainan. Sasaran pasaran kami juga sebenarnya kecil. Kami harus tampil dengan pelbagai kelainan," tambah Izham.

Ketika ditanya apakah yang paling menjadi kerisauannya dalam mentadbir saluran yang penuh kelainan ini, jelas Izham: "Saya paling takut sifat malas. Kita harus sentiasa ke depan. Perlu bergerak laju.

"Saya berbangga dengan tim 8TV. Mereka sentiasa kekal dengan benda baharu. Pada hemat saya, 8TV telah berjaya keluar dengan kuantiti setanding luar negara."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: