|
KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga sudah menjadi impian setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan.
Namun, timbulnya pertelingkahan dalam hubungan merupakan asam garam kehidupan berumah tangga.
Mahu tidak mahu itulah harga yang harus dibayar apabila mereka mengambil keputusan melayari bahtera bersama.
Tidak terkecuali Julia (bukan nama sebenar) yang turut mengimpikan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia di samping suami yang dikahwini atas dasar cinta.
Dia yang mula mengenali suaminya itu pada usia 16 tahun menyulam cinta selama dua tahun sebelum disunting buah hatinya itu.
Setelah setahun mendirikan rumah tangga, suami yang dikasihinya itu dilihat semakin berubah sikap. Daripada seorang yang penyayang, suaminya sering bersikap panas baran.
Tidur bawah jambatan
"Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang masa bercinta, semuanya indah. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda," ujarnya.
Ketika diajak mengimbau perjalanan hidupnya itu, air mata Julia mula bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang pernah dilalui dalam hidupnya.
Tiada apa yang lebih menghayat hati Julia apabila dia bersama anak kecilnya itu pernah merempat di bawah jambatan Sungai Klang berdekatan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Damai, Kuala Lumpur selama satu hari.
Semuanya kerana suaminya itu tidak mampu menyewa rumah sehingga memaksa mereka berteduh di bawah jambatan. Suami Julia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikat swasta hanya mampu memperoleh pendapatan RM800 sebulan.
"Masa itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sudahlah tidak mandi kami terpaksa tidur hanya beralaskan kotak dan surat khabar. Lebih menyayat hati saya kerana anak kami waktu itu baru berusia lima bulan," ujarnya sambil memberitahu perkara itu tidak akan dilupai sepanjang hayatnya.
Kesempitan hidup telah mengubah sikap suami Julia. Jika dulu sewaktu berkasih sayang, belaian dan pelukan menjadi penambat hati tetapi, selepas setahun berumah tangga ia bertukar dengan sepak terajang tanpa belas ihsan.
Tidak tahan didera suami, Julia pernah beberapa kali membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.
Namun, selepas dipujuk beberapa kali oleh suaminya, dia menarik semula laporan polis tersebut kerana terlalu sayangkan suami.
"Dia berjanji akan berubah setiap kali saya membuat laporan. Mungkin kerana percayakan kata-katanya itu, saya memaafkannya," tutur Julia yang turut bekerja mencuci pinggan untuk menambah pendapatan keluarga ketika itu.
Janji tinggal janji, perlakuan ganas dan kegagalan si suami mengawal sikap panas barannya langsung tidak berubah bahkan, semakin menjadi.
Akhirnya kerana sudah tidak tahan lagi membiarkan tubuhnya menjadi seperti beg tinju Julia nekad melarikan diri.
"Kalau dulu mula-mula saya larikan diri saya tidur di bawah jambatan, kali ini saya memilih untuk berlindung di masjid. Mujur saya menemui seorang imam yang akhirnya membawa saya ke rumah Pertubuhan Inisiatif Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita Selangor dan Kuala Lumpur (Wirda) yang terletak di Ampang Jaya.
"Di sini, saya mendapat perlindungan termasuk makan minum yang turut ditanggung pihak Wirda. Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya saya mendapat tempat perlindungan," ujar anak yatim piatu itu.
Bagaimanapun, Julia bertekad untuk mencari peluang pekerjaan demi menyara kos perubatan anaknya yang menghidap penyakit sawan.
Nasib sama
Nurul (bukan nama sebenar), 30, terpaksa menahan derita lebih 10 tahun kerana campur tangan ibu mertua dan jiran.
Dia yang berkahwin atas dasar cinta ketika berusia 18 tahun tidak menyangka campur tangan kedua-dua pihak tersebut menyebabkan dia diceraikan talak tiga.
Nurul yang merupakan pekerja kilang mengakui, kesabaran dia memuncak kerana ditohmah dengan pelbagai fitnah.
"Cuba bayangkan, pagi keluar bekerja dan malam baru balik rumah tetapi, timbul cerita saya suka membomoh penduduk di sekitar kawasan itu.
"Bukan sahaja pelik tetapi, saya sendiri tidak mengetahui motif sebenar jiran termasuk ibu mertua saya mengada-adakan cerita-cerita sedemikian. Walaupun dikata macam-macam saya pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat mereka sebab sayangkan rumah tangga.
"Keadaan bertambah teruk apabila ibu mertua menyampaikan cerita-cerita terbabit kepada suami. Apabila sampai ke telinga suami, apa lagi kalau bukan sepak terajang yang saya dapat," tuturnya menahan sebak.
Bagaimanapun, episod malang itu tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dugaan dan fitnah yang datang semakin bertimpa-timpa.
Tohmahan semakin menjadi-jadi sehingga memaksa suami terus menjatuhkan talak tiga disebabkan terlalu marah.
"Ekoran kehilangan tempat berteduh, saya menghubungi abang untuk membantu saya mencari tempat perlindungan. Kemudian dia membawa saya ke Wirda," katanya.
Bagaimanapun, Nurul tidak pernah menyesal atas nasibnya yang berkahwin muda, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.
"Nasihat saya, jangan terlalu bergantung harap kepada lelaki kerana zaman bercinta dan berumah tangga amat berbeza dan sukar diramal," ujarnya.
Bagi pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, seseorang wanita yang dikahwini itu bukan untuk dikasari.
"Mereka perlu diberi kasih sayang sepenuhnya kerana golongan wanita memberikan lebih daripada itu untuk suami dan keluarga. Contohnya mereka sanggup berkorban menahan kesakitan demi melahirkan zuriat buat suami," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil seseorang wanita yang didera beliau menyarankan, golongan tersebut mesti berani bertindak dengan melaporkan perkara itu kepada ahli keluarga terdekat seterusnya pihak berkuasa.
|
|
"Dengan cara itu, mereka boleh membantu diri sendiri dan menyelamatkan diri untuk keluar daripada belenggu itu.
"Jadi, jangan hanya berdiam dan melayan kesengsaraan itu seorang diri," jelasnya lagi.
Sementara itu, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, kebiasaannya seorang wanita tidak sanggup membuat aduan laporan polis terhadap penderaan yang dilaluinya.
"Ia kerana mereka khuatir akan ditinggalkan si suami. Walau bagaimanapun, mereka perlu sedar sekiranya penderaan itu sudah mencapai pada tahap kritikal iaitu boleh membawa risiko maut jadi sudah tiba masanya untuk mereka berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: