CANGGIH...Azman (kanan) menunjukkan satu produk syarikat tempatan.
SEJUMLAH 104 ruang inkubasi yang disediakan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) kini sudah 80 peratus dipenuhi syarikat teknologi tempatan bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Datuk Azman Shahidin berkata, kebanyakan syarikat terbabit kini sedang melalui beberapa peringkat pembangunan daripada penciptaan idea hingga pengkomersialan.
“Saya menjangkakan awal tahun ini akan menyaksikan beberapa syarikat mula memperkenalkan produk mereka dalam usaha memajukan pertumbuhan teknologi di negara ini,” katanya.
Menurutnya, kerjasama secara menyeluruh antara beberapa pihak mampu membantu syarikat tempatan menyediakan produk terbaik yang mampu mengejutkan dunia.
“Contohnya, kami menyediakan ruang untuk syarikat beroperasi dengan beberapa ciri pejabat menarik manakala terdapat agensi seperti Cradle Fund Sdn Bhd yang menyediakan dana bagi merealisasikan impian mereka,” kata Azman.
Penggerak pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara itu berkata, TPM akan memberi tumpuan dalam mengesan revolusi teknologi akan datang untuk pertumbuhan ekonomi berkekalan.
“Penyelesaian kepada Malaysia dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah menerusi pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, dan oleh itu, syarikat dan usahawan Malaysia perlu meneroka teknologi dan inovasi terkini supaya berada di hadapan landskap ekonomi dunia,” katanya.
TPM ditubuhkan bertujuan menyediakan prasarana dan perkhidmatan kelas pertama untuk memangkin pembangunan syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: