Saturday, January 21, 2012

‘Bila-bila masa saja bas jalan’

MAHAL...seorang ulat tiket menawarkan tiket kepada wartawan Harian Metro.
MAHAL...seorang ulat tiket menawarkan tiket kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Degil dan tidak gentar. Itu gambaran ulat tiket di Pudu Sentral yang ‘gigih' mendekati orang ramai yang lalu lalang di kawasan berkenaan untuk membeli tiket daripada mereka.

Malah, kedatangan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina menjadikan kumpulan terbabit bergerak aktif lengkap dengan walkie-talkie sebagai langkah berhati-hati kerana bimbang dicekup pihak berkuasa.


Tinjauan Harian Metro di Jalan Pudu di sini mendapati mereka tidak berani menjalankan penjualan tiket di dalam Pudu Sentral sebaliknya menjadikan lokasi berhampiran hotel dan restoran di jalan berkenaan sebagai lubuk baru mereka.

Kebanyakan ulat terbabit menjual tiket untuk perjalanan ke Johor.


Bagi meyakinkan orang ramai, mereka menyatakan bas ekspres berlepas pada bila-bila masa dan penumpang tidak perlu menunggu lama selain menyediakan khidmat mengangkut beg ke tempat menunggu bas yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi jualan berkenaan.


Menyangkakan wartawan orang awam, seorang ulat tiket dikenali Lena (bukan nama sebenar), 30-an mendekati dan memaklumkan dia mempunyai tiket untuk ke pelbagai destinasi ke selatan tanah air.

Menurut Lina, bagi perjalanan ke Johor Bahru tiket dijual RM35, berbanding tiket operator sah RM30, manakala ke utara tiket yang dijual masih sama dengan tiket operator sah RM30.


Ketika wartawan bertanyakan tiket sempena Tahun Baru Cina, Lena berkata, mereka bersedia menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih tinggi.

“Pasti harga Raya Cina dua kali ganda, selalunya RM70 ke Johor dan RM60 ke utara. Cakap saja mana destinasi hendak dituju, bas sudah ada dan bila-bila masa saja boleh berlepas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: