Inari, Amertron meterai janji

Pemeteraian perjanjian persefahaman antara Inari Bhd dan Amertron Inc (Global) Limited bukan sahaja dapat meluaskan pangkalan pelanggan mereka, tetapi juga melebarkan kemudahan pengeluaran di luar negara.

Pengarah Urusannya, Tan Seng Chuan berkata, melalui kerjasama itu, Inari optimis peningkatan sebanyak tiga kali daripada perolehan semasa dan meneruskan pelaksanaan rundingan serta penyelesaian sebagai syarat memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Amertron Global.

Menurutnya, penggabungan itu meyakinkan mereka perolehan yang bakal diperoleh selepas kenaikan tiga kali ganda mencecah RM568.8 juta.

“Perjanjian persefahaman itu langkah strategik Inari meneruskan pertumbu-han dalam bidang perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

“Gabungan kemudahan pembuatan Amertron Global di Filipina dan China menerusi empat kemudahan penge­luaran­ Inari di Penang, Inari bakal menjadi pemain multinasional EMS,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman­ itu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kesan penggabungan itu, pihaknya melihat ia dapat meluaskan lagi asas golongan pelanggan terutama daripada Frekuensi Radio (RF) dan optoelektronik dari Amertron Global iaitu infra merah, optik gentian, paparan pintar, diod pemancar cahaya (LED).

Seng Chuan berkata, produk Amertron seperti sensor optik, infra merah, LED dan modul serat optik digunakan dalam pelbagai sektor termasuk automotif, elektronik pengguna, perindustrian dan tentera.