JOHOR BAHRU - Menara Tabung Haji yang terletak di Jalan Ayer Molek di sini, dipilih sebagai lokasi Pusat Khidmat Kewangan Islam (IFIC) yang pertama di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, industri kewangan Islam di Malaysia menjadi satu komponen yang kompetitif dalam sistem kewangan di Malaysia serta pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Oleh itu sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan negara sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, sebagai projek perintis, Lembaga Tabung Haji (LTH) mengambil inisiatif dengan menubuhkan IFIC pertama negara iaitu di Johor Bahru.
“Selain menjadi pusat pengurusan kewangan dan pembiayaan Islam, IFIC menyediakan perkhidmatan pertukaran matawang, perlindungan insurans, pelancongan serta pakej haji dan umrah di bawah satu bumbung.
“Kita berharap Tabung Haji akan mewujudkan lagi lebih banyak pusat IFIC di Malaysia serta mempelbagaikan perkhidmatan berunsurkan Islam untuk merancakkan lagi ekonomi Islam,” katanya pada Majlis Perasmian IFIC di Menara Tabung Haji, di sini, semalam.
Hadir berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail.
IFIC pusat sehenti dengan membabitkan beberapa agensi yang bergabung di bawah satu bumbung bagi menjalankan urusan muamalat iaitu sistem kewangan Islam bersepadu.
Jamil berkata, perkhidmatan sehenti yang ditawarkan ini memberikan keselesaan, kemudahan dan keselamatan kepada orang awam khususnya kepada kira-kira 830,000 pendeposit Tabung Haji di Johor.
"Sasaran utama pengunjung ialah pendeposit dan orang ramai yang menetap di daerah Johor Bahru dengan menyediakan perkhidmatan dari agensi IFIC di bawah satu bumbung.
“Antara agensi yang terlibat ialah Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Tabung Haji Travel & Services (THTS) serta syarikat Takaful Malaysia Berhad.
“Kami yakin dengan konsep sehenti di bawah satu bumbung ini akan memberi kemudahan dan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap sistem kewangan Islam yang kukuh menerusi proses keseragaman dan penerapan kerjasama agensi yang bergabung di bawah seliaannya. Ia memberik impak positif serta meningkatkan imej Tabung Haji,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: