![]() |
| Yee Sang digubah seperti seekor naga sempena sambutan Tahun Naga Air pada tahun ini. |
Dari sudut pandangan Feng Shui, tahun 2012 yang merupakan tahun Naga Air membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia.
Seperti yang diketahui ramai, air merupakan sumber paling penting buat manusia, malah dua pertiga isi kandungan bumi juga merupakan air, manakala 95 peratus kandungan badan manusia terdiri daripada air.
Dalam teori unsur Cina, air menghasilkan kayu, yang menandakan pertumbuhan dan naga mewakili elemen semula jadi.
Kebiasaannya apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina, pelbagai hidangan istimewa disajikan bagi menyambut kedatangan perayaan tersebut.
Antaranya hidangan 'Yee Sang' yang dijadikan simbolik keagungan dan kehebatan sesebuah institusi kekeluargaan.
Diiringi oleh tahun naga bertuah, Restoran Masakan Cina Toh Yuen yang terletak di Hotel Hilton Petaling Jaya menyediakan pelbagai jenis Yee Sang bermula dari 9 Januari hingga 6 Februari 2012.
Namun Yee Sang ukiran naga yang merupakan antara masakan utama, Ketua Chef Masakan Cina, Chef Lee Kok Siong pastinya memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga.
Chef Lee berkata, Tahun Baru Cina juga dikenali sebagai Tahun Baru Lunar menandakan permulaan musim bunga.
"Individu berbangsa Cina di seluruh dunia akan pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina.
"Sebab itu, masyarakat Cina pastinya turut menghidangkan pelbagai hidangan enak untuk dinikmati bersama keluarga kerana ia merupakan lambang tuah, kesihatan dan kemakmuran," jelasnya.
Beliau berkata, antara sajian paling istimewa adalah hidangan Yee Sang yang dinikmati pada hari perayaan tersebut.
"Hidangan Yee Sang sangat terkenal di Malaysia dan Singapura. Yee Sang terdiri daripada pelbagai bahan perasa yang pastinya membawa tuah kepada mereka yang menikmatinya.
"Antara bahan tersebut ialah keropok yang mewakili kebahagiaan, kacang tanah dan bijan melambangkan tuah, minyak mewakili kekayaan dan limau bali membawa nasib yang baik.
"Selain itu, hidangan ini juga disajikan bersama pilihan sashimi (makanan laut segar) yang melambangkan usia yang panjang," katanya.
Menurutnya, ritual atau cara-cara untuk menikmati hidangan ini bersama keluarga atau rakan-taulan amat mudah.
"Untuk menikmati hidangan ini amat mudah kerana setiap individu perlu menggaul hidangan tersebut dengan penyepit.
"Orang Cina percaya jika mereka menggaul hidangan tersebut lebih tinggi maka pada tahun akan datang nasib mereka akan lebih baik," ujarnya.
Tambah Chef Lee, selain Yee Sang Naga bersama abalon dan salmon, pengunjung juga boleh menikmati empat pilihan Yee Sang unik dan menyelerakan yang boleh didapati dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: