
TAHUN 2012 baru saja bermula dan ibu bapa yang paling sibuk dalam merancang masa menghantar serta mengambil anak-anak yang bersekolah.
Bagi mereka yang kesuntukan masa terutama dalam menyediakan hidangan tengah hari, restoran yang menghidangkan pelbagai jenis lauk-pauk menjadi pilihan dan Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam pasti tidak akan menghampakan anda.
Menyajikan lebih 100 jenis lauk dan menu ala-carte lain, restoran yang terletak di Bandar Baru Selayang, Selangor ini menjadi antara pilihan bagi mereka yang mencari pelbagai jenis lauk menyerupai masakan di rumah untuk santapan keluarga.
Daripada gulai kawah, otak lembu masak lemak, sotong masala, keli goreng cili hingga ke ketam masak lemak cili api, Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam menyediakan pelbagai jenis menu istimewa yang kebanyakannya merupakan masakan ala kampung.
Menurut pemilik restoran yang berhadapan dengan Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Ruslin Ibrahim, restorannya sentiasa menyediakan pelbagai pilihan lauk-pauk daripada masakan ala kampung, Indonesia, India, Cina malah masakan cara Thailand.
“Pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dan ada lauk yang kami sediakan sukar didapati di restoran-restoran lain sebagai contoh peria goreng dan otak lembu masak lemak.
“Selain lauk pauk, kami turut menyajikan pelbagai hidangan lain seperti nasi lemak, lontong, roti canai, kuih-muih dan mi untuk sarapan pagi dan banyak lagi.
“Hidangan panas seperti masakan Thailand pula boleh dinikmati pada waktu malam dan kami turut menyediakan pelbagai pilihan stimbot dan nasi lemak
“Mi rebus, mihun sup, rojak pasembor dan nasi beriyani pula merupakan hidangan istimewa restoran ini dan ia ada disediakan sepanjang restoran beroperasi,” ujarnya yang selesa dipanggil Pak Tam.
Terangnya lagi, dia menjaga kualiti makanan sebagai contoh restoran itu hanya menggunakan daging tempatan bagi memastikan kesegarannya dan tempoyak yang disediakan diambil dari Batu Gajah, Perak bagi mengekalkan keasliannya.
Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 malam, restoran yang bermula dengan gerai kecil bawah pokok di bulatan Selayang Baru pada 1994 kini memiliki 10 cawangan antaranya di kawasan rawat dan rehat (R&R) Ayer Keroh, Ulu Bernam dan Tapah, Hospital Seremban, Hospital Putrajaya dan Hospital Besar Kuala Lumpur.
Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam yang ada menyediakan perkhidmatan katering itu turut berada di Bangunan Nusantara dan Bangunan Ambank di Jalan Raja Chulan serta Bangunan MARA di Jalan Raja Laut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: