|
|
"SAYA belum bernikah." Demikian tegas pelakon Fasha Sandha apabila timbul gosip mengatakan dia sudah bernikah dengan kekasih hatinya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau Jejai di Thailand baru-baru ini.
Malah tegasnya, dia hairan bagaimana boleh timbul pelbagai spekulasi tentang perkahwinannya sejak akhir-akhir ini.
Ketika ditemui baru-baru ini, pelakon jelita yang popular menerusi drama bersiri Cinta Elysa itu berkata, dia tidak akan menyorokkan majlis perkahwinannya.
"Buat masa ini saya memang tidak akan memberi sebarang komen mengenai perancangan majlis perkahwinan saya termasuklah bila dan di mana," katanya.
Ditanya mengenai ura-ura kononnya dia yang akan melangsungkan perkahwinan di kota romantik dunia, Paris sempena meraikan sambutan ulang tahunnya, Fasha berkata: "Ya, benar saya akan ke Paris selama 10 hari dan akan menyambut ulang tahun kelahiran saya di kota romantis itu.
"Tetapi dakwaan mengatakan saya bakal berkahwin di sana adalah tidak benar sama sekali kerana saya ke sana atas urusan kerja apabila terbabit dengan penggambaran drama Seindah Sakura bersama Fahrin Ahmad."
Dalam pada itu pelakon cantik berusia 28 tahun itu berkata, dia juga tidak akan mengadakan sidang akhbar mengenai majlis pernikahannya seperti yang lazim dilakukan oleh selebriti tempatan.
Bagaimanapun beliau menegaskan tidak akan merahsiakan tarikh perkahwinannya apabila sudah sampai masanya kelak.
Cuma kata Fasha, dia hanya akan memilih untuk berkongsi hari bahagia itu bersama beberapa organisasi media yang rapat dengannya.
Hanya enam organisasi media arus perdana yang jadi pilihan Fasha dengan alasan hubungan kerjasama yang rapat selama ini.
"Memang saya tidak akan mengadakan sidang akhbar kerana bagi saya ia sesuatu yang terlalu besar.
"Tetapi saya akan memberitahu kepada enam wartawan yang mewakili enam organisasi media. Tujuan saya memilih mereka adalah kerana keakraban persahabatan yang sudah terjalin di antara kami," katanya.
Lebarkan sayap perniagaan
Bakal sibuk sehingga Mei ini bagi memenuhi tawaran lakonan, Fasha mengakui tetap meluangkan masa menguruskan salonnya, Chinta Hair Salon & Beauty termasuk merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Johor.
"Saya tidak membuka salon ini semata-mata kerana saya seorang artis tetapi kerana mahu mengusahakannya.
"Jika berpeluang saya akan mengembangkan perniagaan saya ini ke Johor tidak lama lagi. Ini bagi menghargai peminat dari negeri itu yang menguasai jumlah peminat saya di seluruh negara," katanya
Bercakap mengenai sisi kematangannya, Fasha memberitahu, dia kini melihat pelbagai perkara dengan sudut berbeza dan mengakui bahawa kini dia lebih menghargai peranan media dalam kerjaya seninya.
"Saya akui saya pernah buat kesilapan mungkin disebabkan umur saya yang muda. Namun menjangkau umur 28 tahun ini, saya kini lebih matang untuk membuat keputusan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: