BELUM pun reda isu mengenai dirinya yang suka tiba lewat pada sesi temujanji, penyanyi Stacy kini didakwa menimbulkan masalah baru apabila dikatakan suka membatalkan sesi fotografi di saat-saat akhir.
Sikapnya itu bukan sahaja dilabelkan sebagai artis tidak berdisiplin malah ada mendakwa bekas juara program Akademi Fantasia 6 (AF6) itu semakin menunjukkan belangnya kerana berlagak diva.
Ternyata anak kelahiran Penampang, Sabah yang bernama penuh Stracie Angie Anam, 22, itu amat terkilan dengan setiap dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, Stacy berkata, dia tidak akan cepat melatah walau dihentam dengan pelbagai laporan dan tuduhan negatif.
Cuma dia sedikit kesal dengan laporan yang dianggapnya berat sebelah kerana langsung tidak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Benar saya membatalkan sesi fotografi selama tiga hari berturut-turut secara mendadak dan di saat akhir baru-baru ini.
"Tetapi untuk pengetahuan semua, ketika itu keadaan kesihatan saya tidak begitu memberansangkan. Jadual kerja saya juga kurang sesuai untuk meneruskan sesi fotografi itu.
"Bagaimanapun saya ada meminta maaf dengan pihak terbabit. Saya sendiri sebenarnya rasa amat bersalah kerana terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir," kata Stacy pada sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.
Malah tegasnya, tiada sebab untuk dia berlagak diva memandangkan pengalaman dalam dunia seni masih baru.
Namun dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu salah faham yang mematangkan dirinya.
"Saya akui kesalahan saya dan saya tidak pernah menafikannya tetapi biarlah apa yang berlaku itu dilaporkan dengan betul. Ini kerana bukan saya melakukan perkara tersebut dengan sengaja.
"Dan persoalan mengenai saya seorang diva, itu tidak benar. Saya mahu peminat mengenali saya hanya sebagai Stacy," jelasnya yang kini sibuk mempromosikan single terbarunya bertajuk Kasanova.
Sombong dan liar
Stacy juga menolak dakwaan mengenai dirinya yang sombong dengan rakan sesama artis hanya kerana dia jarang dilihat rapat dengan artis lain.
Menurut Stacy, bukan niatnya untuk tidak bergaul rapat dengan rakan-rakan artis yang lain tetapi dia lebih suka menghabiskan masanya bersama keluarga terdekat.
"Saya bukan seorang sombong, jika terserempak dengan rakan-rakan artis yang lain saya juga akan menegur mereka seperti biasa.
"Tetapi untuk memiliki seorang rakan baik dari kalangan artis mungkin itu bukan saya kerana saya lebih senang ditemani ahli keluarga saya sahaja," katanya yang kini ditemani sepupunya untuk kemana-mana.
Mula menyanyi ketika berumur 15 tahun di sebuah kelab di Sabah, menurut Stacy, budaya mengunjungi kelab malam bukan budaya asing untuk dirinya namun sedar ia bukan perkara biasa untuk peminat di Semenanjung.
"Mengunjungi kelab malam bukanlah petanda saya adalah seorang yang liar, ini kerana saya sudah terbiasa dengan keadaan itu ketika membesar di Sabah.
"Bagaimanapun saya mahu peminat saya mengetahui tujuan utama saya adalah untuk menikmati muzik dan tidak lebih dari itu," jelasnya.
Mengenai caranya yang suka berpakaian agak seksi ketika berada di luar, kata Stacy, dia tidak pernah mengehadkan cara pemakaiannya.
"Saya tidaklah berpakaian yang kurang sopan ketika mengadakan persembahan, saya masih tahu mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Bagaimanapun ketika bersantai saya lebih selesa untuk memakai seluar pendek dan singlet dan ia memang telah saya pakai ketika di Sabah lagi," katanya.
Tukar agama demi cinta?
Menyelami isi hatinya yang banyak dikaitkan bercinta dengan jejaka Melayu sebelum ini, kata penyanyi lincah itu, hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta sesiapa.
"Tiada apa yang mahu dikongsi. Buat masa ini saya hanya selesa berkawan. Tiada istilah cinta lagi. Bagaimanapun jika saya benar-benar menemuinya suatu hari nanti tentu saya tidak akan merahsiakannya daripada peminat," katanya.
Ditanya soalan yang agak sensitif mengenai kesediaannya bertukar agama jika bertemu jodoh dengan kekasih Melayu, Stacy tidak mahu mengulas lanjut.
Jelasnya, perkara itu tidak pernah difikirkan namun jika benar jodohnya bersama jejaka Melayu, dia tidak akan menolak.
"Sukar rasanya untuk memberi jawapan di dalam hal ini kerana saya sendiri tidak tahu sama ada saya sudah bersedia atau tidak.
"Bagaimanapun jika benar jodoh saya bersama jejaka Melayu suatu hari nanti tentunya saya tidak akan menolak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: