|
FILEM seram Sesuatu Yang Tertinggal arahan Asrulhisyam Ahmad membuka panggung tahun 2012 dengan tayangan sulung pada 5 Januari ini. Kalau mengikut pengamatan pemain watak utamanya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar atau lebih dikenali Zahiril, 28, kekuatan filem itu ada pada penghujung jalan ceritanya.
Namun bagi Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 17, filem kedua lakonannya itu semakin mencabar kredibilitinya selaku pucuk muda yang baru ingin bertapak.
Sesi temu bual yang diaturkan bersama dua watak utamanya, Zahiril dan Eina di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka berkongsi rasa dan pengalaman terlibat dalam produksi sebuah filem seram itu.
Disapa 'pak cik' dalam bilik air
Zahiril atau senang disapa Bob sudah dikira otai jika dibandingkan dengan Eina, membawa watak sebagai Arshad, seorang anak yatim berusia 17 tahun, ada resipi yang digoreng untuk menjiwai peranan yang mudanya lebih 10 tahun daripada usia sebenar.
"Filem ini merupakan naskhah santai tapi tetap ada elemen kejutan.
"Sebenarnya, tidak susah untuk menjiwai karakter yang sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenar saya. Kalau dalam teater kita panggil proses memory recall iaitu menjiwai peranan diri sendiri ketika kita pernah berusia sedemikian.
"Sementara tugas saya dalam cerita ini adalah untuk meringankan karakter Arshad supaya penonton tidak muak dengan lakonan selaku seorang pelajar sekolah," kupas Zahiril satu persatu.
Pastinya Zahiril tidak terlepas daripada terkena 'gangguan penghuni tetap' banglo yang terletak di sekitar Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor, lokasi penggambaran dijalankan.
|
|
Cerita Zahiril, pengalaman seramnya terjadi ketika dia sedang mencuci muka di dalam sebuah bilik air yang tidak berlampu ketika pukul 2 pagi.
"Sedang saya mencuci muka tiba-tiba ada seorang pak cik bersongkok berdiri di belakang saya untuk masuk ke dalam tandas, namun bila saya tengok balik dia sudah hilang dan masa itu juga sebatang getah paip tiba-tiba melambung ke arah saya dari penjuru bilik air itu," semangat suami Sheera Ayob itu bercerita.
Sepanjang penggambaran selama 14 hari pada penghujung tahun 2010 itu juga, cuma sekali Zahiril disapa oleh penunggu rumah itu.
Belum merancang anak
Malah, terselit kisah manis di sebalik cerita seram itu. Menerusi set penggambaran filem itu sebenarnya cinta antara Zahiril dan Sheera pertama kali berputik. Jelas Zahiril ketika itu hubungan antara mereka hanya atas dasar kerja.
"Dua bulan selepas habis penggambaran baru kami benar-benar rapat, kadangkala bila difikir balik inilah cinta lokasi ke jinjang pelamin," ujarnya tertawa.
Apabila bercerita mengenai kisah cinta yang tertaut antara pasangan dua sejoli itu pada 20 November 2011 lalu, terfikir untuk bertanyakan soal perancangan keluarga mereka berdua.
Kata Zahiril dia kini lebih tenang dan tersusun dari segi pengurusan kendiri dan kerjaya namun jika disoal mengenai anak dia enggan merancang.
"Kami tak merancang nak cepat, tapi kalau ada rezeki kami terima. Sejujurnya kami perlu mantapkan keluarga dan hubungan antara kami terlebih dahulu," katanya yang kini sedang merancang untuk membuka perniagaan bersama isterinya, Sheera.
Zahiril yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem Biarlah Rahsia dan Haruskah Ada Rindu mengakui tidak pernah puas berlakon apatah lagi tidak banyak karya yang dihasilkan tergesa-gesa.
"Kita sebenarnya banyak hasilkan cerita bagus tapi sebab nak cepat, setiap babak kurang menitik beratkan aspek kualiti. Contoh paling tepat ketika terlibat dengan telefilem Parit Jawa, satu babak mengambil masa empat hari untuk disiapkan, itu memang cukup memuaskan saya," jelas pelakon filem Bunohan yang akan ditayangkan pada bulan Mac nanti.
Eina perlahankan momentum
Tahun 2012 menghidang haluan berliku buat pelakon filem Ratu The Movie ini. Bukan saja cabarannya dalam berlakon drama atau filem yang makin menuntut kedewasaannya, tapi juga bidang akademiknya.
Memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, Eina sudah menetapkan ritma lakonannya ke arah lebih perlahan.
"Sebenarnya saya tidak pernah mengimpikan menjadi seorang artis, itu semua rezeki. Tahun ini tahun penting bagi saya tambahan pula saya bakal menduduki SPM hujung tahun ini.
"Memandangkan jadual belajar saya akan menjadi semakin padat, hanya penggambaran ketika cuti sekolah atau hujung minggu saja yang saya ambil. Itu pun cuma telefilem," tegasnya yang belum bersedia melakonkan aksi-aksi ranjang.
Menerusi filem Sesuatu Yang Tertinggal, Eina memegang watak Bella, seorang pelajar sekolah yang pembuli.
"Saya ingin menjadi pelakon yang serba boleh, saya masih muda dan kalau boleh ingin mencuba pelbagai karakter jika diberi kepercayaan.
"Tapi menerusi lakonan saya dalam filem ini, secara total saya masih belum berpuas hati! Ada punch line yang saya rasa perlu diperkemaskan," katanya yang baru selesai penggambaran drama 13 episod bertajuk Pucuk Muda Kerabu Taugeh.
Sepanjang penggambaran, Eina belum pernah diganggu oleh kejadian aneh sebaliknya cuma menghidap demam-demam mungkin akibat keletihan.
Sesuatu Yang Tertinggal mengisahkan enam orang penghuni rumah anak-anak yatim iaitu Arshad, Mona, Zakiah, Ashraf, Daud dan Murni yang berusia lingkungan 17 tahun yang dihantui pengalaman misteri ketika menetap di sebuah rumah lama yang diwakafkan oleh seorang lelaki.
Selepas mengalihkan sebuah almari antik ke sebuah bilik, sekeping lantai rumah itu terkopak dan Arshad menjumpai sebuah cermin muka tua melalui celah bahagian yang terkopak lalu dihadiahkan kepada Mona.
Mona tiba-tiba berubah sikap dan menghantui hidup Bella yang sentiasa mencemburui Mona. Akhirnya mereka sedar bahawa Mona telah dirasuk dan merancang sesuatu untuk memerangkap kuasa yang mendampingi Mona.
Sesuatu Yang Tertinggal turut dilakonkan oleh Sara Ali (Mona), Sheera Ayob (Zakiah), Rafael El Arash (Ashraf), Daniel El Arash (Daud) dan Farhanna Qismina (Murni).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: