SEMPENA sambutan Tahun Baru 2012, Kumpulan Ambank telah meneruskan tradisinya dengan menganjurkan Konsert Ambang 2012 Kuala Lumpur yang berlangsung di Dataran Merdeka.
Menariknya, ia adalah buat kali ketujuh berturut-turut syarikat perbankan tersebut menganjurkannya serta turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), TV 2 dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Biar telah dianjurkan untuk tahun yang ketujuh, momentum konsert tidak berkurangan apabila baik penyanyi yang hadir membuat persembahan dan orang ramai yang hadir tidak pernah berkurangan.
Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, salah satu matlamat utama pihaknya terus menganjurkan konsert tersebut adalah untuk menyokong semangat perpaduan dan muhibah di kalangan warga Kuala Lumpur.
“Dengan konsert yang dianjurkan ini, sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama serta pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur dapat menikmati kepelbagaian lagu serta tarian Melayu, Inggeris, Cina dan India daripada para artis yang ditampilkan.
“Selain dimeriahkan oleh persembahan artis-artis terkenal, kemuncak pada konsert ini adalah pertunjukkan bunga api yang hebat pada detik 12 tengah malam bagi meraikan sambutan tahun baru 2012,” ujarnya.
Turut hadir pada konsert tersebut adalah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Ternyata konsert yang diadakan itu mendapat sambutan yang cukup luar biasa apabila kira-kira 70,000 orang yang telah membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 8 malam lagi.
Kemudian para pengunjung yang hadir telah dimeriahkan dengan persembahan yang menampilkan ramai artis popular tanah air selama tiga jam bermula pukul 9 malam.
Antara artis yang menghiburkan pengunjung semasa konsert tersebut seperti Datuk M. Nasir, Jamal Abdillah, Awie, Black, Faizal Tahir, One Nation Emcess, Mizz Nina, Hujan dan Sabhi Saddi.
Semua artis yang membuat persembahan telah mempamerkan persembahan yang penuh dengan semangat tahun baru.
Bagi memeriahkan lagi suasana, turut tidak ketinggalan beberapa orang artis bukan Melayu yang berpeluang untuk membuat persembahan iaitu kumpulan Goldkartz, Desire Tan dan Magendran.
Selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian, pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh Artis Budaya DBKL dan Istana Budaya, tarian Cina oleh kumpulan Dynasty Dancers dan tarian India yang dipersembahkan oleh Asthana Arts.
Sepanjang tiga jam konsert tersebut berlangsung, ia telah dihoskan oleh dua orang pengacara iaitu Zainal Alam Kadir dan Linda Onn serta dibantu oleh beberapa orang artis yang diundang khas seperti kumpulan Sepahtu yang dianggotai oleh Jep dan Shuib serta pelawak berketurunan India yang cukup popular iaitu Kenchana Dewi.
Acara kemuncak pada malam itu adalah pertunjukan bunga api selama 10 minit dan konsert disambung semula selepas itu sehingga ia berakhir pada pukul 1 pagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: