Belasah

KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala dan muka di gelanggang bola jaring Taman Selasih kira-kira jam 10 malam semalam.

Dia dipercayai dipukul oleh lapan lelaki yang tidak berpuas hati dengannya.
Saksi berkata, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal dan berhenti di selekoh Jalan Lima. Kemudian ternampak sekumpulan remaja berada di gelanggang bola jaring, tetapi tidak menyangka akan berlaku pergaduhan.
“Tiba-tiba sahaja saya nampak beberapa lelaki terlibat memukul mangsa dengan menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dengan motosikal. Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Saya kemudiannya menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mendapatkan bantuan. Selain ahli PPKM, polis juga turut berada di tempat kejadian.
"Ahli PPKM kemudiannya menghubungi ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPHAM) untuk merawat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kulim,” katanya.
Pengerusi PPKM Khor Eng Khim berkata, sejak kebelakangan ini pergaduhan sering berlaku dan ia melibatkan golongan remaja dan warga asing yang meminum minuman keras.
“Kebiasaannya mereka yang terlibat berada di bawah pengaruh alkohol dan melakukan perbuatan jenayah dalam keadaan tidak sedar.
“Polis dan PPKM terus mengadakan rondaan dan pencegahan untuk memastikan pergaduhan tidak berlaku,” katanya.