Saturday, January 28, 2012

Cerita Tahun Baru Cina Chef Ang


CHEF Ang Cheng Yew menunjukkan hirisan sayur-sayuran yang digunakan bagi menyediakan yee sang untuk hidangan Tahun Baru Cina.


Ketika orang lain gembira berkumpul meraikan bersama ahli keluarga golongan ini masih sibuk bergelumang di dapur melakukan tugas-tugas harian menyediakan sajian untuk para pengunjung..

Bagi Chef Masakan Cina Hotel Vistana, Kuala Lumpur, Ang Cheng Yew, pengalaman 15 tahun bertugas pada Tahun Baru Cina membuatkannya semakin lali dengan situasi tersebut.

Katanya, hampir setiap tahun perayaan itu disambut di tempat kerja bersama rakan-rakan serta pengunjung hotel.

"Sebab itu, saya tidak kisah sangat jika terpaksa bertugas pada Tahun Baru Cina demi menunaikan tanggungjawab kepada syarikat.

"Keluarga juga faham dengan tugas saya dan biasanya saya akan berkumpul bersama mereka apabila tugas-tugas di hotel selesai," katanya.

Buang sedih apabila bekerja

Begitupun anak jati Kuala Lumpur itu mengakui ketika mula-mula bertugas sebagai chef dan terpaksa berkerja pada Tahun Baru Cina, rasa sedih memang tidak dapat dielak apatah lagi ketika ahli keluarga semua sudah berkumpul.

Namun perasaan perasaan itu dibuang jauh-jauh memandangkan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

"Dalam 15 tahun ini, saya tidak berpeluang menyambut Tahun Baru Cina kerana bekerja di luar negara.

"Kalau dulu, saya berasa sedih, namun kesedihan itu sedikit sebanyak terubat bila berpeluang berbual dengan isteri dan ahli keluarga melalui telefon," katanya ketika ditemui di Hotel Vistana.

Kata Chef Ang, isterinya memahami tugasannya kerana dia turut bertugas dalam bidang yang sama.

"Isteri saya bekerja di Genting Highlands dan kami hanya berpeluang bertemu sebulan sekali dalam masa 10 tahun ini," jelasnya.

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang masakan terutamanya masakan Cina, mula menceburi bidang ini sejak remaja lagi.

Menurutnya, memasak merupakan kebolehan turun-temurun yang ada pada keluarganya apatah lagi bapanya merupakan 'tauke' di Restoran Ang yang terletak di Jalan Chow Kit.

Sejak berusia belasan tahun, Chef Ang sentiasa membantu bapanya di restoran tersebut sehingga mencetuskan minat yang lebih mendalam dalam dunia masakan.

Selepas tamat persekolahan, mula menerokai bidang ini bermula dari hotel tiga bintang sehingga ke hotel lima bintang.

"Boleh dikatakan, saya bertukar tempat kerja dari lima hingga enam hotel dalam masa 10 tahun.

"Di setiap tempat yang pernah saya bekerja, ada sahaja pengalaman yang tersendiri dan ilmu yang dipelajari dari sajian masakan Melayu, Cina, India, barat dan lain-lain.

"Untuk menceburi bidang ini, ia memerlukan minat dan kerja ini perlu kena dengan jiwa individu tersebut," ujarnya.

Musim perayaan kali ini, Chef Ang menyediakan pelbagai juadah istimewa termasuk sajian yee sang.

"Sajian yee sang tahun ini berbeza kerana saya hasilkan dengan sedikit sentuhan masakan Thai.

"Ia lebih menyelerakan dari segi rasanya yang pelbagai dan sesuai dimakan oleh pelbagai kaum.

Tambahnya, tiga pakej hidangan iaitu Happiness Menu, Prosperity Menu dan Longevity Menu boleh disesuaikan dengan selera pengunjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: